Ditahan ketika punggah rokok seludup

Ditahan ketika punggah rokok seludup

SEORANG lelaki ditahan bersama rampasan rokok serta arak tidak bercukai dalam serbuan di Taman Sari Cempaka 7, Jalan Junid, Muar. - FOTO/IHSAN PGA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUAR: Seorang lelaki terkejut diserbu pasukan polis ketika sedang memunggah ribuan karton rokok dipercayai barangan seludup ke dalam sebuah kenderaan disyaki untuk tujuan pengedaran.

Pegawai Pemerintah Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA), Superintenden Dimin Awang berkata, dalam kejadian kira-kira 4 petang semalam, suspek lelaki tempatan berusia 39 tahun itu ditahan di sebuah kediaman di Taman Sari Cempaka 7, Jalan Junid, di sini.

“Lelaki itu ditahan ketika sedang menyusun kotak-kotak dipercayai rokok seludup ke dalam sebuah kereta. Hasil pemeriksaan menemui 4,985 karton dan 11 kotak rokok pelbagai jenama.

“Siasatan lanjut ke atas suspek kemudiannya membawa kepada sebuah lagi kediaman di Taman Aman, Jalan Abdul Rahman di sini yang digunakan untuk menyimpan bekalan rokok dan minuman keras,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, dengan dipandu arah oleh suspek ke lokasi berkenaan, pihaknya berjaya menemukan 3,050 karton lagi melibatkan pelbagai jenama serta 53 karton minuman keras.

“Selain rokok dan arak, polis turut merampas kenderaan jenis Mazda CX5 yang digunakan suspek ketika memunggah barang. Anggaran bagi nilai rampasan adalah RM1.8 juta manakala jumlah rampasan arak dianggarkan RM37,500.

“Keseluruhan rampasan termasuk kenderaan pula adalah RM1.99 juta. Siasatan awal mendapati suspek aktif membekalkan rokok dan arak tidak bercukai di sekitar daerah Muar dengan menjadikan dua buah rumah tersebut sebagai stor penyimpanan,” katanya.

Dimin berkata, tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN