KOTA BHARU: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sudah mengenal individu terlibat dalam dua kes penderaan bayi tular, masing-masing di Teluk Intan, Perak dan di Gelugor, Pulau Pinang.
Menterinya, Datuk Seri Rina Harun berkata, kementerian memandang serius dan siasatan terperinci berhubung kes dera berkenaan sedang dibuat sebelum tindakan tegas diambil terhadap pelaku.
“Ini dua kes berbeza yang melibatkan penderaan ibu terhadap anak serta penderaan pengasuh terhadap bayi yang dijaga. Kita kena siasat terperinci kerana ada kes lama yang ditularkan semula.
“Bagi kementerian, perkara ini serius dan siasatan terhadap kedua-dua kes dera perlu diselesaikan segera,” katanya dalam sidang akhbar di Hospital Raja Perempuan Zainab II(HRPZ II), di sini hari ini.
Terdahulu beliau menghadiri Majlis Penyerahan Tajaan Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebanyak RM1.5 juta kepada Yayasan Kebajikan Negara (YKN) Malaysia bagi penubuhan Better Brighter Anjung Kasih YKN-TNB di HRPZ II.
Akhbar sebelum ini melaporkan seorang wanita ditahan kerana dipercayai mendera hingga menyebabkan kematian bayi perempuannya berusia setahun 11 bulan di Teluk Intan, Perak, 9 Mac lalu.
Sementara itu, tular juga di media sosial klip video seorang pengasuh wanita berusia 50-an menampar bahagian muka, badan dan tangan seorang bayi sebelum menghentaknya ke lantai di Gelugor, Pulau Pinang, dipercayai berlaku pada Disember lalu. – UTUSAN