DBKL teliti cadangan laksana had laju kenderaan 30km/j, 50km/j di KL

[Parlimen] DBKL teliti cadangan laksana had laju kenderaan 30km/j, 50km/j di Kuala Lumpur

JALALUDDIN ALIAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan meneliti cadangan yang dikemukakan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) berhubung pelaksanaan had laju kenderaan 30km/j dan 50km/j di pusat bandar di ibu negara.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias menyambut baik cadangan itu kerana ianya akan meningkatkan lagi ciri-ciri keselamatan pengguna jalan raya yang lain seperti penunggang basikal dan pejalan kaki.

“Cadangan yang dikemukakan oleh MIROS ini sedang dalam perincian serta penelitian. Mengikut jadual dikemukakan, bermula April ini, pembentangan akan dibuat kepada DBKL untuk mendapatkan kelulusan dan keputusan tepat dan jika dipersetujui, maka ia akan diputuskan dan dilaksanakan pada Sept 2022.

“Kawasan yang terlibat hanya bagi kawasan-kawasan yang mempunyai had kelajuan 60km/j dan 40km/j, manakala jalan-jalan yang telah diwartakan had kelajuan 70km/j dan 80km/j tidak terlibat dalam kajian dan penelitian cadangan ini,” katanya dalam sesi jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Mohd. Hisamudin Yahaya mengenai pendirian DBKL terhadap cadangan MIROS untuk melaksanakan had laju kenderaan dengan kelajuan 30kmj hingga 50kmj di kawasan-kawasan terpilih mengikuti jejak langkah Bandaraya Paris yang mewartakan had laju tersebut pada Ogos 2021.

Ketika ditanya mengenai pelan DBKL dalam mengatasi kesesakan lalu lintas sebelum pelaksanaan tersebut, Jalaluddin berkata pihaknya sudah mengenal pasti beberapa penambahbaikan.

“Sistem lampu isyarat perlu ditambah baik. Sekarang ini kita ada dua sistem, kita ada sistem yang mengawal trafik di kawasan bandaraya dan satu lagi sistem yang mengawal trafik di pinggir bandar.

“Kedua-dua ini dikawal pusat kawalan Kuala Lumpur maka DBKL sedang meneliti untuk memutuskan bagi integrasi sistem trafik bagi membantu mengawal kesesakan lalu lintas,” katanya.

Beliau juga menyifatkan sistem pengangkutan awam mempunyai masalahnya tersendiri.

“Lambakan kenderaan yang memasuki Kuala Lumpur hampir 2 juta sekarang, maka kesesakan bertambah, dan jajaran jalan raya yang ada di tidak mampu untuk ditambah dan diluaskan kerana sudah padat.

“Maka DBKL telah melakukan beberapa pembaikan, menaiktaraf laluan pertama daripada rumah ke pusat pengangkutan awam dan laluan akhir daripada hentian pusat pengangkutan awam ke pejabat masing-masing,” katanya.

Pada masa sama, beliau juga mengenal pasti masalah halangan tertentu yang wujud di jalan raya.

“Ada halangan laluan yang berlaku seharian, tiap-tiap hari berlaku kemalangan kecil dan besar, termasuk mereka yang tidak bertanggungjawab meletak kenderaan sesuka hati di tepi jalan menghalang lalu lintas, perkara ini kita perlu lipatgandakan penguatkuasaan bagi memastikan ini tidak terus berleluasa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya