KUALA TERENGGANU: Keadaan cuaca baik di Terengganu dan Kelantan menyaksikan lebih ramai mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di kedua-dua buah negeri pulang ke rumah masing-masing semalam.
Di Terengganu, cuaca baik membolehkan bilangan mangsa banjir menurun kepada 16,337 orang petang semalam berbanding 17,742 orang yang direkodkan pada sebelah pagi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri berkata, setakat pukul 4 petang semalam, kesemua mangsa melibatkan 4,226 keluarga ditempatkan di 111 PPS.
Katanya, jumlah mangsa tertinggi kekal di Kemaman dengan seramai 8,734 orang manakala di Dungun (3,106 orang) dan Hulu Terengganu pula berkurang kepada 2,626 orang.
“Penurunan mangsa turut direkod di Kuala Terengganu daripada 728 orang kepada 498 orang diikuti Kuala Nerus (534 orang), Besut (431 orang), Setiu (403 orang) dan Marang (lima orang),” katanya dalam kenyataan.
Bagaimanapun, di Kemaman mangsa banjir dijangka terus bertambah susulan kejadian air pasang besar hingga menyebabkan banjir merebak ke Chukai.
Sementara itu, situasi sama berlaku di Kelantan dengan jumlah mangsa di 30 PPS berkurangan kepada 8,550 orang daripada 2,860 keluarga.
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menerusi Info Bencana JKM melaporkan, jajahan Pasir Mas kekal menempatkan mangsa teramai melibatkan 7,322 orang diikuti Tanah Merah 172 orang, Tumpat 118 orang, Pasir Puteh 43 orang dan Kuala Krai 31 orang.
Difahamkan, walaupun cuaca baik, paras air masih tinggi di sekitar Pasir Mas dan Tumpat akibat limpahan air Sungai Golok selain faktor banjir termenung.
Sementara itu, portal ebanjirkelantan.gov.my menunjukkan semua sungai utama kembali ke paras normal kecuali Sungai Golok di Jenob, Tanah Merah dan Sungai Kelantan di Machang yang masih di paras amaran. – UTUSAN