SHAH ALAM: Nasib pengusaha bas sekolah ibarat sudah jatuh ditimpa tangga selepas hampir dua tahun tidak dapat beroperasi sepenuhnya ekoran pandemik Covid-19 ditambah dengan dugaan banjir kilat yang menyebabkan beberapa buah kenderaan itu rosak akibat ditenggelami air.
Pengerusi Persatuan Bas Sekolah Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur (PBSSPKL), Mohd. Haron Mohd. Sidik berkata, pandemik Covid-19 selama dua tahun dan banjir besar hujung tahun lalu hampir melumpuhkan perniagaan bas sekolah.
“Sekolah baru dibuka pada Januari tahun ini, tiba-tiba banjir pula melanda di beberapa daerah kelmarin. Banyak bas sekolah rosak teruk kerana terendam di dalam air banjir.
“Banjir pula datang bersama dengan lumpur, kebanyakan bas sekolah menggunakan sistem elektronik. Kos baik pulih mencecah ribuan ringgit,” katanya semalam.
Katanya, ada pengusaha terpaksa berhutang dan ke pajak gadai untuk memastikan bas mereka dapat beroperasi semula.
Menurutnya, kelmarin sekali lagi beberapa bas sekolah terendam di dalam air banjir setelah bas sama turut terlibat semasa bencana hujung tahun lalu.
“Hujan cuma tiga jam tetapi di Lembah Klang ini banyak tempat dinaiki air. Tidak pasti bagaimana bas-bas sekolah ini dapat beroperasi semula pada 21 Mac ini apabila sesi persekolahan bermula,” ujarnya.
Sehubungan itu bagi pihak ahli-ahli PBSSPKL, beliau memohon bantuan kerajaan berhubung kebajikan pengusaha bas sekolah yang terlibat dengan banjir dengan segera.
Terdahulu, beberapa kawasan di negeri ini dan Kuala Lumpur dilanda banjir kilat akibat hujan lebat selama beberapa jam di sebelah petang kelmarin. – UTUSAN