KUANTAN: Semua calon parti politik yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini seharusnya berani menandatangani ikrar integriti dan bebas rasuah seperti dilaksanakan Perikatan Nasional (PN).
Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Maran, Datuk Jasri Jamaludin mempersoalkan kenapa Barisan Nasional (BN) tidak berani mengarahkan semua 56 calon parti tersebut yang bertanding pada PRN Johor supaya berbuat demikian.
“Hanya PN berani mengarahkan semua 56 calonnya pada PRN Johor menandatangani ikrar integriti dan bebas rasuah manakala parti lain termasuk BN dan Pakatan Harapan (PH) mahu pun PKR masih belum berbuat demikian.
“Bayangkan bagaimana calon BN mahu menandatangani ikrar itu disaksikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahidi Hamidi dan Penasihat BN, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang terbabit dengan pelbagai kes di mahkamah.
“Jadi, rakyat khususnya di Johor kena faham, PRN berkenaan diadakan iaitu tidak lain tidak bukan kerajaan BN/UMNO mahu kembali berkuasa dan mahu membebaskan pemimpin mereka terutamanya yang sudah didapati bersalah oleh mahkamah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Jasri berkata, keputusan terbaik harus dibuat rakyat Johor dengan mengundi calon PN yang sudah menandatangani ikrar integriti dan bebas rasuah.
Katanya, ia penting bagi memastikan masa depan anak cucu pengundi dan bangsa Johor lebih terjamin dan bebas daripada amalan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa daripada berlaku dalam pentadbiran kerajaan negeri itu.
“Kalau pemimpin atasan terbabit dengan rasuah maka orang bawahan dan pemimpin akar umbi turut akan terpalit seperti kata pepatah Melayu ‘macam mana ketam mahu mengajar anaknya berjalan lurus tetapi ia sendiri mengikut laluan salah’,” katanya.
Sementara itu, beliau tidak menolak kemungkinan bahawa BN akan mengadakan satu lagi PRN di Perak jika mereka meraih kemenangan bergaya di Johor, pada 12 Mac nanti.
“Saya juga melihat kemenangan PRN Johor akan menjadi sebab kukuh untuk BN/UMNO mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), sekali gus membolehkan mereka kembali berkuasa penuh di Putrajaya dan membebaskan Geng Kluster Mahkamah dari kes masing-masing,” dakwanya. – UTUSAN