Buka sempadan JB-Singapura hadiah Ramadan - Utusan Malaysia

Buka sempadan JB-Singapura hadiah Ramadan

Tambak Johor sejauh 1.056 kilometer yang menghubungkan Johor Bahru dan Singapura menjadi penghubung darat antara Singapura-Johor. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pengumuman pembukaan semula sempadan darat Malaysia-Singapura bermula 1 April ini adalah berita paling dinantikan buat rakyat negara ini yang bekerja di republik berkenaan.

Menurut rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura, Habbatallah Mohd. Bahari, 44, pengumuman itu bagaikan hadiah istimewa menjelang Ramadan dan Aidilfitri setelah dua tahun tidak boleh bersama keluarga.

Sepanjang pintu sempadan antarabangsa ditutup bermula 18 Mac 2020, dia hanya berpeluang sekali pulang ke pangkuan keluarga iaitu pada tahun lalu.

“Akhirnya, pengumuman yang ditunggu-tunggu tiba juga, syukur Alhamdulillah sudah boleh ulang-alik seperti biasa. Ini berita gembira buat kami dan rakan-rakan dari Malaysia yang masih berada di sana (Singapura).

“Memang kita ada balik sebelum ini, tetapi jika benar tidak perlu kuarantin dan buat ujian kendiri hari-hari, memang membantu sangat. Lagi-lagi bila nak dekat puasa ini, mudah untuk kami bersama keluarga.

“Dalam masa sama, banyak benda boleh dijimatkan. Mungkin tidak perlu lagi menyewa di sana dan boleh lihat keluarga dengan lebih kerap,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

 

Sempadan darat

Jumaat lalu, Malaysia dan Singapura mengumumkan pembukaan semula sempadan darat kedua-dua negara dengan sebahagian besar prosedur operasi standard (SOP) dilonggarkan.

Pengembara dari kedua-dua negara yang lengkap vaksinasi dibenarkan untuk merentas sempadan darat tanpa perlu menjalani kuarantin atau melaksanakan ujian saringan Covid-19 termasuk ujian pra pelepasan dan semasa ketibaan.

Seorang lagi rakyat negara ini di Singapura, Mohd. Farizuan Abdul Shukor, 29, berkata, pengumuman itu tepat pada masanya iaitu sebelum kedatangan bulan Ramadan, malah kelonggaran yang dipersetujukan oleh kedua-dua kerajaan itu relevan terutama melibatkan hal-hal kecemasan.

“Dalam tempoh kebelakangan ini, kita memang boleh balik, tetapi bukan serta-merta sebaliknya perlu kuarantin. Jadi jika ada masalah kecemasan seperti kematian atau sebagainya, kita tidak akan boleh berada di kampung tepat pada masanya.

“Sekiranya, selepas ini tidak perlu lagi kuarantin, ia amat melegakan kerana apa-apa jadi saya boleh terus ke kampung tanpa sebarang masalah,” katanya.

Ditanya mengenai penjimatan kos selepas pembukaan semula sempadan yang memberi ruang pekerja berulang-alik, jelasnya, ia tidak memberi sebarang perbezaan ketara.

“Saya bekerja di sektor makanan di Singapura dan saya memang duduk di rumah yang disediakan majikan. Biasa memang saya balik bila ada cuti sahaja.

“Cuma apa yang saya gembira adalah saya boleh balik pada bila-bila masa dan tidak terlepas saat penting bersama keluarga baik ketika ada keraian atau kecemasan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN