Buka sempadan: IPD KLIA sedia sepenuhnya

Buka sempadan: IPD KLIA sedia sepenuhnya

IMRAN Abd. Rahman menyampaikan Sijil Penghargaan kepada anggota dan pegawai sempena Sambutan Peringatan Hari Polis ke-2015 peringkat IPD KLIA, Sepang, Selangor. - UTUSAN/MOHD. HUSNI MOHD. NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sudah bersedia sepenuhnya, susulan pembukaan sempadan negara mulai 1 April ini. 

Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Imran Abd. Rahman berkata, pihaknya menugaskan 100 pegawai dan anggotanya bagi kawalan khususnya di KLIA dan KLIA2. 

Beliau berkata, pihaknya akan meletakkan anggota di lokasi tumpuan di kedua-dua lapangan terbang itu bagi menunjukkan omnipresence atau kehadiran polis. 

“Buat masa ini, jumlah keanggotaan di KLIA dan KLIA2 sama seperti pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini dan ia ditingkatkan bergantung kepada trafik ketibaan pelancong. 

“Kita berharap semuanya berjalan lancar, malah kita juga akan pastikan ketibaan pelancong kelak lancar, selamat dan cekap,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-215 di sini, hari ini. 

Katanya, pihaknya sudah mengikuti beberapa siri taklimat dan mesyuarat bersama Malaysia Airports Holdings Bhd (Malaysia Airports) dan beberapa agensi lain bagi memastikan kelancaran menjelang pembukaan sempadan negara itu. 

Imran berkata, pihaknya menjangkakan kedua-dua pintu masuk udara itu akan mengalami kesesakan mulai 1 April. 

“Justeru, kami ingin mengingatkan kepada pelancong asing supaya memuat turun aplikasi MySejahtera sebelum mendarat di negara ini bagi memudahkan pergerakan dan mengelak kesesakan di lapangan terbang.

“Ketika ini, kawalan keselamatan di KLIA dan KLIA2 berada dalam keadaan terkawal dan berharap ia berterusan apabila sempadan dibuka kelak,” katanya. 

Katanya, selain kawalan di lapangan terbang, pihaknya memastikan pintu masuk udara itu bebas daripada ancaman keselamatan seperti penyeludupan dadah, senjata api, pemerdagangan manusia. 

Terdahulu, Imran turut menyampaikan sijil penghargaan kepada 61 penerima terdiri daripada orang awam dan rakan korporat di atas sumbangan dan khidmat bakti yang diberikan kepada IPD KLIA. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN