Tiada siapa menjangka pandemik Covid-19 yang membadai dunia pada 2020, meninggalkan impak di pelbagai sektor. Ada yang dibuang kerja, hilang punca pendapatan dan terpaksa bangkit melakukan apa sahaja demi kelangsungan hidup mendatang.
Azril Baharudin, 35 antara yang terkena tempiasnya apabila dia memutuskan untuk berhenti kerja hanya beberapa bulan sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan dalam memutuskan rangkaian Covid-19.
Bapa kepada dua orang anak ini memutuskan berhenti kerja awal 2020 kerana ingin memperbaiki ekonomi keluarga di samping bosan dengan rutin hariannya selaku penerbit di salah sebuah stesen televisyen tempatan.
“Segala yang saya rancangkan bukanlah terus menjadi indah. Semasa PKP saya tidak ada pendapatan langsung. Malah ada kawan-kawan yang mengatakan saya bodoh kerana berhenti kerja.
“Lebih malang, saya terpaksa berhenti daripada menjalankan bisnes produksi yang saya jalankan secara kecil-kecilan. Saya juga ditipu kerana ada yang menjanjikan bulan dan bintang sebelum saya berhenti kerja dengan memberi peluang atau kerja kepada syarikat produksi saya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Azril mengakui, bila PKP pertama dilaksanakan, dia terduduk kerana duit simpanan semuanya habis. Dia hanya mampu menangis sahaja ketika itu.
“Apa yang saya mampu buat ialah berdoa, setiap hari saya amalkan surah al-Waqiah sehingga hari ini,” katanya.
Dia yang kini menceburi bidang insurans menjelaskan dia nekad berhenti kerja kerana mahu menceburi dunia perniagaan. Lebih-lebih lagi memperlihatkan kawan-kawan sebayanya sudah mencapai apa yang mereka mahukan tetapi dirinya masih lagi ditakuk yang sama.
“Saya bukan tidak bersyukur dengan rezeki yang dimiliki tetapi saya mahu berubah dan keluar daripada bidang tugasnya sebagai penerbit TV. Bahkan saya sudah berada dalam dunia itu selama lebih 11 tahun.
“Saya akui memang takut dengan keputusan yang saya buat kerana saya sudah ada pendapatan tetap setiap bulan. Tetapi apabila saya tidak berhenti kerja, saya tidak akan berani menerokai bidang lain. Bagi saya, kalau saya tak langgar macam mana saya nak tahu dunia lain selain dunia broadcasting saya,” katanya.
Isteri jadi kekuatan
Azril mengakui ketika itu, dia buntu lebih-lebih lagi sebagai ketua keluarga dia perlu menyara keluarga.
Namun, dia bersyukur kerana isteri, Siti Nurhafiza Mohd Ariffin, 34 tahun sentiasa menyokong malah membantu keluarga dari segi kewangan.
“Bukan mudah seorang wanita bersabar lebih-lebih laki ketika kita sudah tidak ada pendapatan dan duit. Isteri saya tidak pernah mengeluh malah dia sangat memahami keadaan saya.
“Dia banyak membantu menyelesaikan bil-bil dan tidak pernah merungut. Dia juga sentiasa memberi kata-kata semangat supaya saya bangkit dan mengejar cita-cita dalam bidang keusahawanan,” ujarnya.
Produk untuk wanita
Selepas melalui fasa sukar dalam kehidupan, seorang rakan mengajaknya menjadi ejen insurans AIA. Di samping memberi pendapatan lumayan, Azril nekad mengumpul modal hasil menjadi ejen insurans.
Selama hampir enam bulan, Azril bertungkus lumus membuat simpanan untuk berniaga. Ketika dia menyuarakan hasrat berniaga kepada isteri, rakannya, Mohamed Nassir Abdul Rahim turut berminat untuk bekerjasama dengannya mengeluarkan modal.
Mengakui dirinya hampir rebah dan berputus asa ketika itu, Azril bertuah apabila isterinya sentiasa menjadi pemangkin semangat dan sumber utama kekuatan biarpun usahanya membuka syarikat penerbitan sendiri sebelum ini berakhir dengan kegagalan.
“Berkat kesabaran, bantuan sumber kewangan dan inspirasi daripada isteri, lahirlah produk minuman tambahan Hawla ini sebagai menghargai kaum wanita,” kata bapa kepada Nur Medina Qaisara, 7, dan Muhammad Noah Miqael, 4, itu.
Jelas Azril, Hawla merupakan formulasi multinutrisi terkini dengan teknologi Jerman untuk kesihatan dan kecantikan.
“Saya tahu pasti ada saingan sengit yang perlu ditempuhi tetapi saya perlu kuat,” katanya yang banyak belajar selok belok perniagaan daripada rakan-rakannya yang berniaga termasuk Mohamed Nassir.
Hawla didedikasikan buat isteri tercinta kerana sentiasa memberi sokongan kepada kehidupannya dan untuk menghargai wanita.










