KLANG: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memerlukan 175 buah balai bomba tambahan di seluruh negara untuk membolehkan operasi menyelamat boleh dilakukan lebih pantas.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, setakat ini, terdapat 325 balai bomba di seluruh negara namun angka tersebut belum mencukupi jika dibandingkan dengan kawasan.
“Keperluan membina balai bomba baharu ini berdasarkan 21 kriteria, seperti jumlah penduduk, jumlah bangunan serta panggilan di sesebuah kawasan.
“Kesemua kriteria ini akan disemak oleh pasukan bomba setiap lima tahun, yang mana kali terakhir kami buat semakan pada tahun 2015,” katanya selepas merasmikan Pos Kawalan Bomba (Fire Pos) di Pulau Indah, dekat sini hari ini.
Menurut beliau, JBPM berharap Malaysia akan memiliki 500 buah balai bomba menjelang tahun 2030 supaya tugas menyelamat akan lebih cepat selepas ini.
Sementara itu, mengenai kewujudan pos kawalan berkenaan, Mohammad Hamdan menjelaskan pos tersebut adalah pos kekal pertama di Selangor.
“Pos seperti ini diperlukan kerana ia dapat mempercepatkan anggota bomba untuk sampai di mana-mana lokasi kejadian di Pulau Indah,” ujarnya. – UTUSAN