Dapat 29 kerusi DUN

BN menang dapat majoriti mudah 29 kerusi DUN pukul 9.18 malam

MANDAT BAHARU... Penyokong Barisan Nasional bersorak kegembiraan selepas parti itu berjaya membentuk kerajaan setelah melepasi majoriti mudah 29 kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor apabila keputusan tidak rasmi diumumkan di Dewan Perhubungan UMNO, Johor Bahru malam tadi. – MINGGUAN/ RAJA JAAFAR AL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan negeri Johor setelah melepasi majoriti mudah 29 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, semalam.

“Tak rasmi dah lepas 29. Dah boleh bentuk kerajaan,” kata Pengarah Pilihan Raya BN Johor, Datuk Seri Mohamad Hasan pada pukul 9.18 malam tadi menerusi WhatsApp kepada Utusan Malaysia.

Antara kerusi dimenangi BN adalah Benut, Tenang, Kukup dan Parit Raja.

Setakat 9.18 malam, kerusi lain yang didahului BN adalah Buloh Kasap, Sungai Balang, Sri Medan, Parit Raja, Kahang, Tenggaroh, Penawar, Tanjung Surat.

Kerusi lain yang turut didahului adalah Jementah, Pemanis, Kemelah, Bekok, Bukit Pasir,, Tangkak, Serom, Bukit Naning, Maharani, Semerah, Yong Peng, Senggarang, Mahkota dan Paloh.

Calon Menteri Besar BN, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad menewaskan tiga pencabarnya daripada Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) di Benut.

Beliau dijangka mengangkat sumpah kali kedua sebagai Menteri Besar Johor bagi penggal ke-15 di hadapan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Istana Bukit Serene pada hari ini.

Keputusan PRN Johor itu sekali gus memberi gambaran awal terhadap cerminan situasi sama dijangka berlaku di peringkat Persekutuan dalam PRU15 yang mungkin diadakan tidak lama lagi.

Sementara itu, sebanyak 50 peratus keluar mengundi dicatatkan setakat pukul 4 petang, semalam.

Sebanyak 2,597,742 pemilih berdaftar layak mengambil bahagian dalam PRN Johor kali ini berbanding 1,817,999 pengundi yang mengambil bahagian dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) 2018 lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menyasarkan 70 peratus daripada 2.59 juta pengundi keluar mengundi di 1,021 pusat mengundi.

Seramai 239 calon daripada BN, PN, PH, PKR, Muda, Pejuang, Parti Warisan Sabah (Warisan), Parti Bangsa Malaysia (PBM), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) termasuk 16 calon Bebas bertanding dalam PRN Johor.

BN dan PN menjadi dua gabungan yang membariskan kesemua calon di 56 kawasan DUN, manakala PH yang turut menampilkan jumlah sama bertanding secara berasingan di bawah tiga logo iaitu lambang PH, PKR dan Muda. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×