TAMPIN: Bagi tujuan meningkatkan kemahiran kognitif dan keyakinan diri golongan kanak-kanak istimewa, sebuah Bilik Terapi Sensori Ronald McDonald (RMSR) telah diwujudkan di restoran makanan segera McDonald Tampin, di sini.
Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan Mcdonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar berkata, bilik terapi sensori berkenaan disediakan khas untuk kanak-kanak istimewa khususnya daripada keluarga berpendapatan 40 peratus terendah (B40).
“Sehingga kini, Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia (RMHC) Malaysia telah membangunkan sebanyak 35 cawangan buah bilik terapi sensori di seluruh negara dengan kos tajaan lebih dari RM4 juta. Ia telah memanfaatkan lebih daripada 7,000 orang kanak-kanak istimewa termasuk di Sabah dan Sarawak.
“Kami akan pastikan 35 buah bilik ini digunakan sepenuhnya dan mempunyai ahli terapi yang betul serta dilantik sebagai fokus utama. Ini menjadikan kemudahan yang disediakan ini sebagai rangkaian bilik terapi sensori terbesar di negara ini yang boleh dimanfaatkan.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian McDonald’s Tampin, Bilik Terapi Sensori Ronald McDonald dan Penyampaian Zakat Korporat McDonald’s untuk Negeri Sembilan, di sini hari ini.
Majlis tersebut dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Pada majlis berkenaan McDonald’s Malaysia turut menyerahkan bayaran zakat korporat bernilai RM180,000 kepada Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) yang diwakili oleh Pengerusi MAINS, Datuk Dr. Abd. Aziz Sheikh Ab. Kadir.
Sementara itu, Ahli Terapi Cara Kerja RHMC, Muhammad Yusof Abdul Kadir berkata, RMSR di Tampin berkenaan boleh digunakan mengikut sesi selama 45 minit dengan had tiga kanak-kanak dalam satu-satu masa.
Menurutnya, kemudahan berkenaan mempunyai dua bilik iaitu satu bilik sensori iaitu bilik rawatan dan kedua ialah bilik menunggu.
“Bilik rawatan dikendalikan oleh ahli terapi bertauliah dan dilengkapi dengan peralatan-peralatan yang merangsang deria. Dalam bilik ini, boleh membantu merangsang tujuh jenis deria yang membantu perkembangan kognitif dan pembelajaran,” katanya. – UTUSAN