Bekas atlet negara kini OKU tekad ubah nasib diri - Utusan Malaysia

Bekas atlet negara kini OKU tekad ubah nasib diri

MUHAMMAD Kamal Ishak, 29, menjalankan perniagaan percetakan baju secara kecil-kecilan setelah terlibat dalam kemalangan jalan raya tiga tahun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Meskipun pernah terlibat dalam kemalangan jalan raya tiga tahun lalu sehingga menyebabkan diri bergelar orang kurang upaya (OKU), ia tidak mematahkan semangat anak muda ini untuk bangkit mengharungi kehidupan yang telah berubah.

Muhammad Kamal Ishak, 29, berkata, jika dahulu kehidupannya begitu aktif kerana merupakan tonggak negara dalam acara sukan sepak takraw, namun dia tetap bersyukur kerana masih diberi peluang bernafas dan melihat dunia biarpun dalam perspektif yang berbeza.

“Masa mula kemalangan dalam Februari 2019 memang rasa terduduk sebab impak kemalangan menyebabkan saya tak boleh bergerak dari paras leher ke bawah. Tambahan pula, benda pertama saya fikir ketika itu ialah masa depan sukan sepak takraw dan saya fikir memang sudah berakhir.

“Namun, atas sokongan yang diberikan ahli keluarga termasuk isteri, rakan sepasukan dan rakan-rakan lain membuatkan saya positif untuk bangkit,” katanya ketika ditemui di Kubang Semang, di sini baru-baru ini.

Kata anak kedua dari empat beradik itu, dia tidak mengambil masa lama untuk berputus asa kerana memikirkan tanggungjawab kepada isteri, Nik Norzilawatie Nik Wil, 27, dan anak perempuan mereka, Nur Assyifa Media, 2, yang perlu dilunaskan.

“Tak dinafikan ketika itu saya berperang dengan mental kerana sebagai ketua keluarga saya perlu memastikan keperluan isteri dan anak terjaga.

“Tanpa fikir panjang, saya meneruskan kehidupan dengan memulakan kembali perniagaan percetakan baju secara kecil-kecilan setelah sekian lama berhenti kerana terikat dengan jadual yang padat ketika bergelar atlet dahulu,” katanya yang memulakan perniagaan sebelum kemalangan sekitar 2017.

Muhammad Kamal yang baharu saja memperoleh Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Jasmani Universiti Putra Malaysia (UPM) awal tahun ini berkata, berbekalkan iltizam dan motivasi diri yang kuat, tahap kesihatannya menunjukkan perubahan positif iaitu dari tidak mampu bergerak sehingga boleh duduk menggunakan kerusi roda serta menguruskan diri tanpa bantuan orang lain.

“Bila dah nampak perkembangan positif ni, saya mula fokus kepada perniagaan 100 peratus. Alhamdulillah, meskipun masih berdikit-dikit saya percaya Allah SWT sudah aturkan rezeki saya sehinggalah yang paling terbaharu pihak Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang membuat tempahan baju kira-kira 200 helai untuk atlet di temasya Sukan Malaysia (Sukma) nanti,” katanya sambil menambah akan menerima lebih 500 tempahan baju setiap kali tibanya musim Liga Sepak Takraw (STL).

Tambah Muhammad Kamal, pada bulan lalu, dia turut mendapat tawaran menjadi guru Pendidikan Jasmani di sebuah sekolah menengah dan kini sedang menunggu keputusan Jabatan Pendidikan negeri untuk menentukan penempatan sekolah yang bakal diajarnya kelak.

“Malah, tahun ini juga saya anggap sebuah episod baharu dalam hidup yang mana saya harap boleh berjalan walaupun tahu tidak (boleh berjalan) seperti dulu. Sekarang pun dah banyak perubahan positif hasil daripada fisiologi yang saya buat secara berkala.

“Harap perubahan ini menjadikan saya lebih bergantung kepada diri sendiri selain mampu lakukan sesuatu pekerjaan seperti orang normal buat,” kata anak tunggal lelaki kepada pasangan Ishak Taib, 69, dan Jamilah Md Jusoh, 64, itu.

Muhammad Kamal adalah antara perejam negara yang membantu Malaysia meraih pingat perak acara regu berpasukan dalam Sukan Asia Jakarta-Palembang pada 2018. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya