KUALA SELANGOR: Seorang lelaki warga emas maut manakala anaknya terselamat selepas kereta dinaiki mereka terbabas dan bertembung dengan sebuah kenderaan lain di Kilometer 54 Jalan Klang-Teluk Intan di sini, hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 12.06 tengah malam itu mengakibatkan mangsa berusia 66 tahun maut di tempat kejadian akibat parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, kemalangan berlaku ketika mangsa memandu Perodua Viva bersama anak lelakinya yang berusia 23 tahun.
“Setibanya di lokasi kejadian, kereta dua beranak yang datang dari arah Kuala Selangor itu dipercayai terbabas selepas melanggar pembahagi konkrit jalan.
“Kereta itu kemudian memasuki laluan bertentangan dan melanggar kereta Perodua Kancil dari arah Tanjong Karang,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Jelas beliau, pemandu Kancil berusia 42 tahun bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tanjong Karang untuk bedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Tambah beliau, siasatan mendapati permukaan jalan lurus dua lorong itu dalam keadaan kering dan dan cuaca turut baik.
Sementara itu, Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, sepasukan empat anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Tanjong Karang dikerah ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan.
“Anggota kita kemudian mengeluarkan mangsa dan menyerahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
“Operasi berkenaan tamat sepenuhnya pada pukul 12.30 tengah malam,” katanya. – UTUSAN










