SEREMBAN: Polis sudah melakukan siasatan dan menyangkal dakwaan bapa kepada seorang bayi perempuan berusia setahun tiga bulan yang mendakwa anaknya dijerut dan bukan meninggal dunia disebabkan kepala terjerut pada kain buaian seperti yang tular di media sosial Facebook semalam.
Kejadian menyayat hati itu berlaku ketika bayi itu, Nour Rania Asyifaa Yuseri berada di bawah jagaan pusat asuhan di Taman Nusari Aman, Bandar Sri Sendayan di sini, bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, polis telah menjalankan siasatan secara menyeluruh dengan bantuan kepakaran pakar forensik.
“Polis jalankan siasatan bukan sahaja secara individu tetapi juga menggunakan bantuan forensik yang siasatannya lebih tepat. Siasatan kes itu sudah lengkap dan telah dihantar kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut. Saya tidak boleh (komen) kata ada unsur jenayah atau tidak tunggu keputusan pihak pendakwa raya,” katanya dalam sidang akhbar sempena Sambutan Hari Polis Ke-215 peringkat Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas ketidakpuasan hati bapa bayi itu yang diluahkan di media sosial Facebook sehingga menjadi tular sejak semalam. Menerusi hantarannya di Facebook, dia mendakwa bayinya dijerut bukannya terjerut.
Sementara itu, Nanda berkata, sehingga kini polis tidak menerima sebarang aduan atau laporan daripada bapa bayi itu dan hanya maklum selepas membaca hantaran yang tular di media sosial.
“Itu cuma anggapan bapa mangsa saja, kita tidak boleh kata apa. Dari sudut polis, kami telah melakukan siasatan secara terperinci dengan merakam percakapan semua pihak berkaitan. Saya harap masyarakat tidak memberi komen mengikut hati dan perasaan di media sosial kerana polis telah melakukan tugas yang terbaik,” katanya.
Nanda dalam pada turut berharap ibu bapa bayi berkenaan dapat bertenang dan tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan salah faham mana-mana pihak.
Sebelum ini, media melaporkan, Nour Rania Asyifaa Yuseri ditemukan tidak sedarkan diri pada pukul 3 petang di dalam buaian di sebuah bilik di pusat asuhan di Taman Nusari Aman, Bandar Sri Sendayan pada 22 Februari lalu.
Nanda berkata, berdasarkan siasatan awal, sebelum itu mangsa diberi susu oleh pengasuh dan dimasukkan ke dalam bilik tidur bersama dua kanak-kanak lain pada pukul 12.30 tengah hari.
“Mangsa ditidurkan dalam buaian dan dua kanak-kanak lain ditidurkan dalam buaian jenis rocker. Selepas itu pengasuh keluar dari bilik pada pukul 2 petang untuk melakukan tugas-tugas lain,” katanya.
Menurutnya, pada pukul 3 petang, pengasuh masuk semula ke dalam bilik dan mendapati mangsa dengan keadaan kepala tersangkut pada kain buaian.
Jelasnya, pengasuh kemudian telah melakukan bantuan kecemasan kepada bayi terbabit namun mangsa didapati tidak bernafas. Dia kemudian telah membawa mangsa ke Klinik Kesihatan Sendayan untuk pemeriksaan lanjut namun doktor yang merawat mengesahkan bayi itu telah meninggal dunia pada pukul 4.30 petang. – UTUSAN