KUALA LUMPUR: Pelbagai tugas bukan hakiki yang terpaksa dilaksanakan guru menjadi antara punca mereka semakin tawar hati untuk mengajar dan memilih untuk bersara awal.
Bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, guru sekarang mempunyai tugas yang berat kerana bukan sahaja perlu mengajar tetapi juga perlu menjaga semua anak muridnya yang mempunyai 1,001 masalah.
Selain itu, menurut beliau, guru juga perlu mengendalikan kumpulan WhatsApp bersama murid-murid dan ibu bapa berhubung pelbagai perkara berkaitan persekolahan.
“Jangan lupa, guru-guru pun ada masalah sendiri tetapi mereka perlu menghadapi tekanan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dan tekanan daripada masyarakat, jadi dalam hal ini ibu bapa perlu sentiasa memberikan kepercayaan dan sokongan kepada guru supaya mereka tidak rasa terbeban dengan tugas mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi semalam.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Pendidikan, Datuk Dr. Mohd Radzi Md. Jidin yang mendedahkan jumlah guru bersara awal hampir menyamai kadar guru yang bersara wajib.
Tidak sanggup
Alimuddin berkata, jumlah itu menunjukkan terdapat dalam kalangan 416,743 guru yang tidak sanggup lagi untuk mengajar sehingga usia persaraan 60 tahun.
Menurutnya, ketidaksanggupan itu meliputi beberapa faktor antaranya kesihatan, keselamatan, komitmen, kemahiran dan tekanan pekerjaan.
Namun, menurut beliau, bilangan guru yang membuat keputusan untuk mengambil persaraan pilihan sendiri menjadi lebih ramai sejak pandemik Covid-19dua tahun lalu.
“Apabila guru-guru memasuki usia 50 tahun dan ke atas, biasanya yang mahu bersara awal kerana sakit dan tidak mampu berulang alik dari rumah ke sekolah. Ada juga yang berhenti disebabkan komitmen, ada juga bersara lebih awal kerana mahu menceburi bidang lain seperti perniagaan.
“Tetapi, disebabkan Covid-19, guru kini berdepan cabaran besar kerana perlu mahir dalam kemahiran teknologi maklumat (ICT) untuk menyediakan bahan-bahan bagi menjalani pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR). Kalau guru muda tidak apa, tetapi guru yang berusia ini mempunyai banyak kekurangan sehingga mereka tidak sanggup lagi nak mengajar,” katanya. – UTUSAN
Statistik bilangan sekolah, pelajar dan guru setakat 31 Julai 2020
Bilangan sekolah 10,220
Bilangan murid 4,987, 401
Bilangan guru 416,743
Bilangan dan Peratus Graduan Pendidikan setakat 28 Februari 2021
Bekerja 9,257 ( 68.9 peratus_
Melanjutkan pengajian 932 (6.9 peratus)
Meningkatkan kemahiran 98 (0.7 peratus)
Menunggu penempatan pekerjaan 874 (6.5 peratus)
Belum bekerja 2,284 (17 peratus)
Jumlah 13,445 graduan pendidikan










