Bank boleh beku akaun suami atas arahan mahkamah - PM

Inisiatif Hari Wanita 2022: Bank boleh beku akaun suami atas arahan mahkamah – PM

ISMAIL Sabri Yaakob menyampaikan Anugerah Khas Tun Fatimah kepada Norazizah Borhan (dua dari kiri). Turut mengiringi Rina Mohd. Harun (kanan) dan timbalannya, Datuk Siti Zailah Mohd. Yusoff (kiri) sempena Sambutan Hari Wanita Kebangsaan 2022 di Pusat Konvesyen Kuala Lumpur (KLCC). - UTUSAN/ MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan mengumumkan Akta Pembiayaan Kewangan bagi membolehkan pihak bank membekukan akaun suami atas arahan mahkamah berdasarkan tuntutan yang dibuat oleh isteri.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia adalah salah satu inisiatif kerajaan bagi memastikan wanita Malaysia terus diperkasa.

“Bagi membantu wanita yang menghadapi proses perceraian panjang, Institusi Hakam di bawah mahkamah syariah dimantapkan lagi.

“Kerajaan melalui Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia turut memperkenal Akta Pembiayaan Kewangan yang mana pihak bank boleh membekukan akaun suami atas arahan mahkamah.

“Pihak bank juga dibenarkan membuat bayaran daripada akaun suami yang telah dibekukan tersebut kepada isteri, sekiranya isteri ada membuat tuntutan yang melibatkan wang di mahkamah,” katanya di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan sambutan Hari Wanita 2022  bertemakan Saksama Bersama. Yang hadir sama Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat , Datuk Rina Mohd. Harun.

Selain itu, beliau turut mengumumkan penubuhan Majlis Wanita Negara dan kewujudan Rang Undang-Undang Anti Gangguan Seksual.

Pada masa sama, katanya, dalam usaha memahami kesedihan dan bebanan yang ditanggung oleh wanita yang kematian suami, ketua jabatan dan pengurusan tertinggi semua organisasi digalak membenarkan wanita tersebut bekerja dari rumah.

“Kalau boleh, saya nak perkara ini diwajibkan untuk membenarkan wanita bekerja dari rumah dalam tempoh bersesuaian bagi membolehkan urusan keluarga dan peninggalan suami diselesaikan,” katanya.

Beliau juga mengumumkan bahawa Sambutan Hari Wanita wajib diadakan pada 8 Mac setiap tahun di semua peringkat sama ada persekutuan mahupun negeri bagi menghargai dan mengiktiraf peranan serta sumbangan wanita.

Di samping itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan melalui Suruhanjaya Sekuriti Malaysia akan mewajibkan pelantikan sekurang-kurangnya seorang pengarah wanita bagi semua syarikat penyenaraian awam.

“Cadangan ini dijangka berkuat kuasa pada 1 September 2022 bagi syarikat bermodal besar dan 1 Jun 2023 bagi syarikat tersenarai lain,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan mengambil inisiatif menambah pusat sokongan sosial setempat serta memperkasa bahagian siasatan seksual wanita dan kanak-kanak di Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan pelaku jenayah terhadap wanita diambil tindakan tegas dan pantas.

“Bagi memastikan kesihatan wanita terus terpelihara, kerajaan juga memperuntukkan RM11 juta sebagai subsidi untuk ujian mamogram kepada wanita berisiko tinggi dan pelaksanaan ujian saringan kanser serviks kepada wanita.

“Remaja wanita turut mendapat perhatian yang mana kit asas kebersihan diri diedarkan secara percuma kepada 130,000 remaja B40 setiap bulan sepanjang tahun,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya