SIMPANG RENGGAM: Pada usia hampir menjangkau 97 tahun, Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr. Mahathir Mohamad merasa terpanggil berkempen memenangkan parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Dr. Mahathir berkata, walaupun keadaan kesihatan tidak begitu mengizinkan, beliau tetap bersemangat turun memastikan PRN Johor ini kembali kepada kerajaan yang terlepas tampuk pemerintahannya.
Katanya, rakyat Johor perlu bangkit untuk menunjukkan jalan keluar kepada Barisan Nasional (BN) seterusnya menyatakan sokongan kepada Pejuang yang jauh lebih bersih dan berkaliber.
“(Turun ke Ayer Hitam) Sebab saya risau akan PRN Johor ini. Ia amat penting buat rakyat Johor menolak kerajaan yang gagal, mereka bubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) kerana gagal mentadbir Johor, kerajaan ini perlu ditukar.
“(Pada masa sama) Pejuang menawarkan diri untuk menubuhkan kerajaan baharu. Pejuang adalah parti yang bersih, mempunyai pemimpin yang berpengalaman mentadbir negara, dikenali ramai serta mempunyai keupayaan membentuk negara.
“Sebab itu, saya berada di sini menawarkan peluang kepada rakyat untuk membentuk kerajaan yang baharu dan tolak kerajaan yang lama,” katanya pada sidang akhbar selepas Program Aspirasi Johor Bersama Tun Dr. Mahathir Mohamad di Felda Ayer Hitam, Machap, di sini hari ini.
Yang turut hadir Ketua Pejuang Johor, Datuk Dr. Sharuddin Md. Salleh merangkap calon parti itu bagi kerusi DUN Machap.
Dr. Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Koronari (CCU), Institut Jantung Negara (IJN) sejak awal tahun lalu sebelum dibenar keluar dari IJN pada 5 Februari dan masih memerlukan rehat mencukupi.
Sementara itu, beliau percaya gelombang rakyat yang menentang kerajaan kleptokrat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) masih ada dan akan bangkit sekali lagi melawan BN.
Ini kerana, kata Dr. Mahathir, rakyat masih kecewa setelah kerajaan yang mereka pilih dahulu diketepikan akibat politik kotor lompat melompat yang tidak demokrasi.
“Saya yakin rakyat ingin bentuk kerajaan pilihan mereka dan masih ramai lagi yang kecewa kerana kerajaan pilihan mereka dahulu dijatuhkan. Ini peluang mereka kembalikan mandat kepada kerajaan Johor yang baharu melalui proses demokrasi ini (PRN Johor),” katanya. – UTUSAN