KOTA BHARU: Pembukaan sempadan negara pada 1 April ini akan dimanfaatkan Persatuan Muay Thai Malaysia (PMM) untuk menghantar 16 atlet kebangsaan menjalani latihan di Bangkok, Thailand.
Presiden PMM, Datuk Muhammad Shahnaz Maula Azmi berkata, latihan tersebut sebagai persediaan dalam usaha untuk membantu kontinjen negara meraih pingat emas pada Sukan SEA di Hanoi, Vietnam, Mei depan.
Katanya, kesemua 16 atlet terbabit dijadual bertolak ke Bangkok pada 2 April dan akan mengikuti latihan di sana sehinggalah Sukan SEA bermula.
“Tidak dinafikan prestasi atlet sedikit menurun kerana sudah dua tahun mereka tidak dapat ke luar negara menyertai sebarang pertandingan dan kejohanan ekoran pandemik Covid-19, jadi, kita berusaha mengembalikan semula rentak mereka.
“Selain Sukan SEA, mereka juga berlatih untuk menghadapi Kejohanan Muay Thai Dunia di Abu Dhabi pada 25 April nanti serta temasya Sukan Malaysia (SUKMA) yang belum ditentukan tarikh,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Muay Thai Kebangsaan di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (Putik), Pengkalan Chepa di sini yang disertai 400 atlet dari Selangor, Johor, Kedah, Kelantan dan Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, Muhammad Shahnaz berkata, kesediaan Kerajaan Negeri Kelantan menjadi tuan rumah kejohanan peringkat kebangsaan tahun ini amat melegakan kerana boleh dijadikan sebagai aksi pemanas badan.
“Kebanyakan atlet-atlet kebangsaan berasal dari Kelantan untuk Sukan SEA kelak, kita menyasarkan untuk mendapat sekurang-kurangnya satu pingat selepas mengambil kira program kita tergendala selama dua tahun.
“Walaupun tiada kejohanan, kita ada latihan seperti biasa namun berdepan cabaran terdapat atlet yang dijangkiti Covid-19 sehingga kita perlu jaga betul-betul mereka supaya tiada penularan.
“Sukan lain mungkin ada kaedah alternatif untuk berlatih tetapi untuk Muay Thai agak sukar kerana memerlukan perlawanan, tambahan pula kita tak boleh merentasi sempadan ke Thailand yang menjadi hab kepada sukan Muay Thai,” katanya. – UTUSAN