Artis diberkas tanam ganja dalam rumah - Utusan Malaysia

Artis diberkas tanam ganja dalam rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang artis tempatan diberkas di sebuah kondominium di Kota Damansara semalam selepas menanam ganja di dalam rumah miliknya.

Suspek seorang lelaki berusia lingkungan 40-an itu diberkas di rumahnya dalam serbuan yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pemeriksaan dijalankan di rumah suspek mendapati terdapat sejumlah ganja yang ditanam dalam rumah.

“Pemeriksaan dijalankan menemukan pokok ganja yang ditanam, setakat ini siasatan awal mendapati ganja tersebut untuk kegunaan suspek sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Sambutan Hari Polis ke 215 peringkat Ibu pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di IPD Petaling Jaya.

Katanya, siasatan lanjut masih lagi dijalankan berkaitan kes tersebut.

“Suspek direman pada pagi ini untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai sambutan Hari Polis ke-215 ini, pihaknya sentiasa komited dalam memastikan kadar jenayah di daerah ini dikurangkan.

“Alhamdulillah, trend kadar jenayah di Petaling Jaya dalam keadaan yang baik serta mencatatkan penurunan, untuk tahun 2021, kita berjaya kurangkan kadar jenayah sebanyak 34 peratus.

“Selaras dengan amanat Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, polis Petaling Jaya akan sentiasa meningkatkan mutu perkhidmatan untuk berkhidmat kepada masyarakat,” katanya.

Majlis Sambutan Hari Polis ke 215 peringkat Ibu pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di IPD Petaling Jaya turut menyaksikan beberapa individu termasuk daripada wakil media menerima sijil penghargaan yang disampaikan oleh Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN