MELAKA: Seorang bapa empat anak mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak kandungnya di dalam kebun sawit, awal tahun ini.
Tertuduh yang berusia 41 tahun dan bekerja sebagai pengait sawit membuat pengakuan tersebut sejurus empat pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.
Hukuman terhadap tertuduh bagaimanapun akan ditetapkan pada sebutan semula, pada tarikh 27 April bagi menunggu laporan fakta kes.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didapati telah merogol anak perempuannya berusia 15 tahun lima bulan yang mana hubungan itu tidak dibenarkan mengikut undang-undang, hukum agama, adat, kebiasaan yang terpakai untuknya berkahwin.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan maksimum 30 tahun serta sebatan mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan.
Tertuduh juga didapati dengan sengaja melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa sama yang merupakan anak sulung daripada empat beradik.
Bagi perbuatan itu dia didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKSTK) 2017 dibaca bersama Seksyen 16 (1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, mengikut Seksyen 14 (a) AKSTK memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan, manakala Seksyen 16 (1) AKSTK pula hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan tidak kurang dua sebatan.
Kedua-dua perbuatan itu dilakukan tertuduh kira-kira pukul 9 malam di kebun kelapa sawit di sebuah kampung di Sungai Rambai dalam daerah Jasin pada 20 Januari lalu.
Bagi dua lagi pertuduhan, tertuduh didapati melakukan kesalahan sama iaitu merogol dan amang seksual fizikal terhadap mangsa sama kira-kira pukul 8.30 pagi di sebuah rumah pada 18 Oktober 2021.
Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Intan Lyiana Zainal Abidin memohon agar mahkamah dapat menetapkan tarikh baharu bagi serahan fakta kes dan keputusan hukuman.
Beliau juga tidak menawarkan sebarang jaminan, namun sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara, Intan mencadangkan jumlah RM50,000 diberikan dengan seorang penjamin.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam tidak membuat sebarang rayuan dan mahkamah menetapkan tarikh 27 April untuk serahan fakta kes dan keputusan hukuman. – UTUSAN