SEREMBAN: Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menyerahkan kepada mana-mana pihak untuk membuat sebarang spekulasi susulan perpindahan keahliannya dalam parti ke cabang Port Dickson baru-baru ini.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat itu, ia termasuk khabar angin yang mengatakan beliau akan berubah kerusi untuk ditandingi dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) selain mahu mencabar jawatan Ketua Cabang Keadilan Port Dickson.
“Selalunya orang akan fikir lebih daripada apa seharusnya mereka fikir, mereka kata saya mahu bertanding di Parlimen (Port Dickson), saya mahu pergi jauh dalam karier, saya tidak fikir itupun tetapi orang akan fikir begitu. Saya pulangkan kepada mereka, itulah dinamik politik.
“Orang boleh buat persepi macam-macam, tetapi itu tidak penting yang penting untuk kita terus berbakti kepada masyarakat, dalam politik adalah untuk kita berjuang kepada masyarakat,” katanya.
Aminuddin yang juga Menteri Besar berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di Wisma Negeri di sini hari ini.
Sebelum ini media yang memetik sumber melaporkan, Aminuddin yang juga Ketua Cabang Keadilan Tampin berpindah keahliannya ke Cabang Keadilan Port Dickson sejak akhir Januari lalu.
Sementara itu Aminuddin berkata, perpindahan dari satu kerusi ke kerusi lain merupakan perkara biasa sebagai ahli politik manakala perebutan jawatan menerusi pemilihan parti juga sesuatu yang sangat baik bagi amalan demokrasi.
“Dalam politik kita tidak semestinya duduk di satu tempat, kita rasa, kita nak pindah, pindahlah, kadang-kadang orang daripada luar pun bertanding di Negeri Sembilan, orang Negeri Sembilan pun bertanding di luar, itu tidak jadi masalah, dalam politik itu biasa.
“Bagi pemilihan parti, mahu bertanding apa pun belum diumumkan lagi, ini masih lagi desas-desus, bagi saya, kalau ada pun pertandingan dibuat dalam keluarga besar. Itulah demokrasi, ada masa kita bertanding, ada masa kita dilawan, ada masa kita mempertahankan.
“Terpulang kepada kita meraikan demokrasi, apabila kita jadi ahli parti, kita ada kuasa untuk mengundi, ada kuasa untuk dipilih dan ada kuasa untuk menawarkan diri, itu hak-hak kita yang ada sebagai ahli, itulah demokrasi dan ada pemilihan itu lebih baik daripada kita tiada pemilihan langsung,” katanya.
Dalam pada itu beliau memaklumkan, keputusan untuk bertukar cabang keahlian tersebut adalah atas kehendaknya sendiri tanpa campur tangan kepemimpinan parti di peringkat Pusat.
“Saya sendiri tandatangan, kenapa saya mahu katakan parti arahkan saya, jadi sayalah yang mengakui bahawa saya memilih jalan saya,” katanya yang turut mengesahkan jawatan beliau sebagai Ketua Cabang Tampin juga sudah tergugur dan kini dipangku Timbalan Ketua Cabang Tampin sehingga pemilihan parti berlangsung.
Setiausaha Agung Keadilan, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebelum ini memaklumkan pemilihan parti itu bagi sesi 2022 hingga 2025 ditangguhkan ke tarikh baharu bermula 13 hingga 18 Mei ini.
Hari pencalonan bagi peringkat cabang ditetapkan pada 8 hingga 10 April depan manakala pencalonan untuk jawatan Majlis Pimpinan Pusat pada 11 April ini.
Kerusi Parlimen Port Dickson kini disandang oleh Presiden Keadilan, Datuk Seri Anwar Ibrahim manakala Ketua Cabang Keadilan Port Dickson kini disandang oleh Timbalan Pengerusi PKR Negeri Sembilan, Datuk M. Ravi manakala Aminuddin berasal dari Kampung Pachitan, Port Dickson.
Ravi yang juga ADUN Sri Tanjung, antara nama yang dikaitkan dalam penyebaran satu kenyataan pada September tahun lalu yang mencadangkan supaya jawatan Pengerusi MPN Keadilan Negeri Sembilan yang dipikul oleh Aminuddin digantikan dengan individu lain. – UTUSAN