Agensi kerajaan negeri diseru taja pasukan bola

Agensi kerajaan negeri diseru taja pasukan bola

SULAIMAN Md. Ali (tiga dari kiri) bergambar bersama piala kejohanan Liga Bola Sepak Wanita Piala Datin Seri Munirah yang diadakan pada 5 Mac ini. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berharap agensi kerajaan negeri dapat bersama-sama menyumbang dan menaja pasukan bola sepak Melaka, demi pembangunan sukan di negeri ini.

Sulaiman yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka (Musa) berkata, ini kerana pihaknya sentiasa mempunyai perancangan dan wawasan dalam membawa sukan itu ke tahap yang lebih baik.

Beliau percaya ramai pemain berbakat di negeri ini jika disemai dengan baik dapat melahirkan pelapis berkualiti di pelbagai peringkat untuk Melaka dan negara.

“Semoga dengan program-program pembangunan yang dilaksanakan di peringkat negeri. Sedikit sebanyak dapat membantu pembangunan bola sepak negara dengan melahirkan bakat-bakat berkualiti seperti mana yang diharapkan,” katanya pada Majlis Pelancaran Liga Bola Sepak Wanita Piala Datin Seri Munirah, di sini hari ini.

Yang hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, VP. Shanmugam dan Exco Wanita Musa, Dr. Siti Faidul Maisarah Abdullah.

Sementara itu, mengenai kejohanan yang berlangsung Sabtu ini, Siti Faidul Maisarah berkata, pertandingan itu terbuka kepada semua pasukan wanita di seluruh negara dan pemain mestilah berusia 14 tahun ke atas.

Katanya, penganjur menyasarkan lapan pasukan dan setakat ini sudah enam mengesahkan penyertaan dengan dua pasukan lagi turut menyatakan minat untuk mengambil bahagian.

“Sambutan amat menggalakkan terutamanya di Melaka sendiri. Sepatutnya tarikh pendaftaran telah ditutup, tetapi kami lanjutkan kerana masih terdapat banyak permintaan pasukan-pasukan yang ingin menyertainya.

“Trend kejohanan bola sepak wanita telah menjadi satu fenomena yang memberangsangkan untuk menggalakkan kaum hawa bermain bola. Format pertandingan sama seperti bola sepak lelaki dan johan menerima wang tunai berjumlah RM3,000 beserta pingat dan piala pusingan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN