Ada kenaikan harga makanan di bazar Ramadan - Utusan Malaysia

Ada kenaikan harga makanan di bazar Ramadan

MOHD. Fitri Musa berniaga kerang bakar di gerainya di Puncak Alam, Shah Alam Selangor. - UTUSAN/MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Beberapa peniaga di bazar Ramadan seluruh Selangor mengakui barang makanan yang dijual mereka pada Ramadan tahun ini akan mengalami kenaikan.

Pengurus Nasi Briyani Hj Ali Batu Pahat, Atikah Wahab berkata, pihaknya terpaksa menaikkan harga beriani ayam dan daging pada kadar RM2 berbanding Ramadan tahun lalu.

Menurutnya, kenaikan tersebut terpaksa dibuat berikutan pembekal ayam dan daging lembu yang dibeli pihaknya masing-masing menaikkan harga dua bahan makanan itu.

“Kalau dahulu, saya beli sekilogram ayam dengan harga RM5.50 tetapi kini, pembekal jual pada harga RM8.50.

“Situasi yang bersama bagi harga lembu dengan pembekal menjual 16 kilogram (kg) pada harga RM240, berbanding RM180 pada Ramadan lalu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Selain harga ayam dan daging lembu, kata Atikah, harga bahan masakan lain seperti cili, tomato, timun dan lain-lain lagi turut mengalami kenaikan yang agak tinggi.

Melihat senario itu, dia tidak mempunyai pilihan lain selain menaikkan harga jualan nasi beriani kecuali beriani kambing.

“Harap kerajaan dapat kawal harga barang bahan basah pada Ramadan kali ini supaya saya tidak perlu naikkan lagi harga beriani.

“Walaupun naikkan harga, saya sendiri tidak dapat untung banyak kerana pelbagai kos seperti sewa tapak perniagaan, pekerja, logistik dan lain-lain lagi,” katanya yang akan berniaga di empat bazar Ramadan di sekitar Sungai Buloh dan Damansara.

Sementara itu, seorang lagi peniaga bazar Ramadan, Mohd. Fitri Musa berkata, dia terpaksa menaikkan harga kerang bakar yang dijualnya sebanyak RM2.

Menurutnya, kenaikan tersebut berlaku apabila pembekalnya di Kuala Selangor memaklumkan bahawa stok kerang ketika ini terhad.

“Malah, harga mentarang juga dinaikkan oleh pembekal iaitu dari RM8 sekilogram ke RM25 sekilogram.

“Bagaimanapun, tidak bercadang untuk naikkan harga mentarang kerana saya khuatir pelanggan tidak beli, selain memahami pelanggan juga kini sedang bergelut dengan kenaikan kos pelbagai barang,” katanya yang akan berniaga di bazar Ramadan Stadium Shah Alam tahun ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN