71 dikompaun merokok di tempat awam - Utusan Malaysia

71 dikompaun merokok di tempat awam

ANGGOTA penguat kuasaan kesihatan (kiri) mengeluarkan kompaun kepada individu yang melakukan kesalahan merokok di tempat awam dalam operasi di sekitar bandaraya Ipoh semalam. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Sebanyak 71 kompaun bernilai RM17,750 dikeluarkan atas kesalahan merokok di tempat awam hasil operasi penguatkuasaan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak di sekitar daerah Kinta di sini malam tadi.

Pegawai Kesihatan Persekitaran Cawangan Inspektorat dan Perundangan JKN Perak, Azahari Man berkata, kompaun terhadap perokok itu dikeluarkan mengikut Peraturan 11 (1), Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004.

Katanya, sebanyak empat notis kesalahan bernilai RM1,000 turut dikeluarkan kepada pemilik premis di bawah Peraturan 12, PPKHT 2004 kerana gagal mempamerkan tanda larangan merokok.

“Selain itu, kita turut mengeluarkan tiga kompaun berjumlah RM1,500 kepada pekedai mengikut Peraturan 14(1) PPKHT 2004 iaitu gagal mempamerkan tanda larangan jualan hasil tembakau kepada individu di bawah umur 18 tahun.

“Kesemua kompaun itu dikeluarkan hasil pemeriksaan yang dilaksanakan di 215 premis di daerah Kinta dengan disertai 54 anggota penguatkuasa Kementerian Kesihatan dibantu empat anggota polis,” katanya dalam sidang akhbar di Taman Ipoh Timur di sini.

Mengulas lanjut beliau berkata, pelbagai alasan diberikan pengunjung mahupun pekedai ketika dikesan melakukan kesalahan tersebut termasuk tidak tahu mengenai penguatkuasaan kawasan larangan merokok khususnya di premis makanan.

“Sepatutnya sebagai rakyat Malaysia, kita perlu mengambil tahu kewujudan peraturan kawalan hasil tembakau ini, malah akta atau peraturan itu telah lama diwartakan iaitu pada tahun 2004.

“Kita melihat masyarakat kurang mengambil berat perkara ini, jadi dengan operasi yang dijalankan, ia dapat membuka mata mereka untuk lebih peka dan patuh kepada peraturan yang dikuatkuasakan oleh Kementerian Kesihatan,” katanya.

Sementara itu beliau berkata, ketidakpatuhan orang ramai terhadap prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4 juga menyebabkan sebanyak 27 kompaun bernilai RM27,000 dikeluarkan.

Katanya, kesemua kompaun dikeluarkan mengikut Akta 342 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 yang dikuatkuasakan oleh kerajaan.

“Dalam operasi ini, kita juga mengesan terdapat individu melanggar perintah kuarantin di rumah (HSO) dan kompaun dikeluarkan kerana tidak mematuhi arahan kuarantin yang telah dikeluarkan oleh pegawai diberi kuasa.

“Perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku kerana Covid-19 bukanlah perkara baharu dan masyarakat sendiri mengetahui tindakan melanggar SOP akan menyebabkan penularan jangkitan sukar dikawal,” katanya.

Tambah beliau, dalam operasi tersebut, sebanyak 278 aktiviti pendidikan kesihatan turut dijalankan melalui nasihat dan edaran kad berkaitan jenis-jenis kesalahan dan nilai kompaun kepada orang ramai. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN