PETALING JAYA: Seramai 68 pengunjung dan dua pemilik premis hiburan dikompuan RM70,000 dalam serbuan berasingan di dua buah pusat hiburan di ibu negara, semalam.
Kesemua kompaun itu dikeluarkan Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur apabila kedua-dua premis tersebut didapati melanggar Peraturan 17 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit PPN 4 2021 dengan (Melakukan aktiviti terlarang dalam pub dan kelab malam) yang masih dikuatkuasakan.
Ketua JPJKK KL, Datuk Azman Ayob berkata, premis pertama melibatkan 11 pengunjung manakala satu lagi serbuan mendapati terdapat 57 pengunjung di premis kedua.
“Turut dikenakan kompaun dua pemilik premis. Kesemua mereka dikenakan kompaun RM 1,000.00 setiap individu menjadikan jumlah keseluruhan kompaun RM 70,000.
“Sejak 1 Januari 2022 hingga kini, JPJKK Kuala Lumpur telah mengeluarkan 521 kompaun ke atas pemilik premis dan pengunjung pusat hiburan di sekitar ibu negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Azman, dalam tempoh itu, jumlah keseluruhan kompaun yang dikeluarkan sepanjang tempoh berkenaan berjumlah berjumlah RM521,000.
“Kesemua kompaun dikeluarkan mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) yang telah dikuatkuasakan oleh kerajaan.
“Orang ramai dinasihatkan untuk terus mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan bagi mengelakkan penularan jangkitan Covid-19 yang masih tinggi demi keselamatan umum,” ujar beliau.
Jelasnya, operasi akan terus dipertingkatkan lagi dari masa ke masa dalam usaha membantu kerajaan mengawal penularan wabak Covid-19 demi kesejahteraan masyarakat bersama. – UTUSAN