50 peratus belia terlibat kemalangan maut 

50 peratus belia terlibat kemalangan maut 

ISMAIL SABRI Yaakob (tengah) menyatakan sesuatu kepada penerima lesen memandu pada Program Bantuan Lesen Memandu Keluarga Malaysia di Dewan Kompleks Rakan Muda Bera di Bera, Pahang. - UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERA: Kes kemalangan jalan raya membimbangkan kerana menjadi antara penyebab utama kematian dengan sebanyak 14,308 kes direkodkan pada 2019 hingga tahun lalu, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. 

Perdana Menteri berkata, lebih membimbangkan apabila dalam tempoh yang sama, golongan belia mencatatkan kes kematian tertinggi dengan  7,077 kes atau  mencecah 50 peratus daripada kadar kematian keseluruhan.

Beliau berkata, statistik ini menunjukkan golongan muda terdedah kepada risiko lebih tinggi semasa berada di jalan raya dan ia adalah cabaran utama pihak penguat kuasa untuk membendungnya.

“Sebenarnya kita boleh buat apa sahaja, laluan khas motosikal pun kita buat tetapi kalau disiplin tidak ada itu yang menyebabkan berlaku kemalangan.

“Jadi yang pentingnya mendidik penunggang tentang disiplin di jalan raya untuk berikan kesedaran kepada mereka khususnya anak muda,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Bantuan Lesen Memandu Keluarga Malaysia di Kompleks Rakan Muda Bera di sini hari ini.

Yang hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan negeri, Datuk Seri Norol azali Sulaiman dan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Zailani Hashim.

Pada majlis itu seramai 404 masyarakat Orang Asli di daerah ini menerima lesen memandu menerusi program tersebut. 

Mengulas lanjut, Ismail Sabri, pihak JPJ berhasrat mengurangkan kadar kematian akibat kemalangan sebanyak 50 peratus menjelang 2030 dengan merangka pelbagai usaha dan program.

Beliau berkata, antara usaha yang boleh dilakukan ialah melalui penekanan kepada disiplin dan memperbanyakkan lagi program kesedaran dan libat urus bersama penunggang motosikal.

Dalam pada itu beliau berkata, Program Bantuan Lesen Memandu Keluarga Malaysia bertujuan membantu dan memudahkan masyarakat Orang Asli mendapatkan lesen memandu yang sah.

Katanya, melalui program ini calon terlibat hanya perlu membayar RM20 dan akan diberi latihan serta ujian bagi mendapatkan lesen memandu serta mereka diberi pendedahan tentang undang-undang jalan raya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN