49,111 pesakit jalani dialisis di Malaysia

49,111 pesakit jalani dialisis di Malaysia

KHAIRY Jamaluddin pada majlis pelancaran Duta Ginjal dan Program Pendidikan Pradialisis di Putrajaya. - FOTO/IHSAN KKM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Data terkini Malaysian Dialysis and Transplantation Registry menunjukkan, terdapat 49,111 pesakit yang menjalani dialisis di negara ini dengan kebanyakan adalah secara hemodialisis, manakala selebihnya peritoneal dialisis.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, dalam masa sama, jumlah pesakit dialisis baharu setahun pula sekitar 8,000 orang dan ketika ini, bilangan pesakit buah pinggang yang sedang menunggu transplan adalah seramai 4,722 orang.

Katanya, rawatan terbaik untuk pesakit buah pinggang tahap akhir adalah pemindahan buah pinggang, justeru Kementerian Kesihatan (KKM) akan memperhebatkan kempen pendermaan organ di Malaysia dan mengkaji agar peranan Pusat Sumber Transplan Nasional diperkukuhkan.   

“Saya menyeru semua pihak seperti selebriti, atlet-atlet negara dan juga ahli-ahli politik tanpa mengira fahaman untuk sama-sama tampil mengajak orang ramai bukan sahaja untuk mengamalkan gaya hidup sihat, malah tampil ke hadapan untuk menjadi penderma organ.

“Pendaftaran ikrar derma organ juga boleh diwujudkan semula bagi memudahkan orang awam mendaftar sebagai penderma organ,” katanya berucap pada pelancaran Duta Ginjal dan Program Pendidikan Pradialisis di sini hari ini. 

Beliau berkata, selain itu, KKM akan mengkaji serta membangunkan mekanisme bagi mengenal pasti kes-kes berpotensi sebagai penderma organ untuk diperbaiki, antaranya pengenalpastian penderma yang berpotensi dalam kalangan pesakit kes-kes kematian otak (brain dead cases).

“Saya akan mengadakan ‘engagement’ dengan doktor-doktor pakar khususnya yang bertugas di unit rawatan rapi (ICU) untuk melihat langkah-langkah penambahbaikan yang boleh kita lakukan bersama,” katanya. 

Khairy berkata, KKM juga akan mengadakan kempen untuk menggalakkan ujian Anggaran Kadar Penurasan Glomerular (eGFR) dalam kalangan pesakit yang berpotensi untuk mendapat penyakit buah pinggang tahap kronik khususnya seperti pesakit darah tinggi dan kencing manis bagi menjadikan mereka lebih cakna tentang tahap kesihatan buah pinggang masing-masing. 

“Dengan kesedaran sebegini, pesakit boleh membuat persediaan awal dan yang paling utama, supaya ini akan mendorong mereka menukar gaya hidup ke arah yang lebih sihat. 

“Peningkatan jumlah pesakit saban tahun sudah tentu akan memberi tekanan kepada sistem kesihatan negara. Ini semua boleh diubah sekiranya KKM, komuniti kesihatan awam dan swasta serta masyarakat awam melaksanakan perkara-perkara yang saya sebutkan,” katanya. 

Mengulas lanjut, beliau berkata, melalui platform www.mybuahpinggang.com suatu modul khas dibangunkan oleh sekumpulan pakar perubatan untuk pesakit buah pinggang kronik tahap empat dan lima mendapatkan maklumat penting bagi membantu perawatan mereka serta kelangsungan hidup.

“Modul ini atau lebih dikenali sebagai Program Pendidikan Pradialisis telah dihasilkan dengan sokongan pihak industri iaitu Baxter Healthcare Malaysia dan dibangunkan dengan usaha sama Perkhidmatan Nefrologi KKM, Persatuan Nefrologi Malaysia, Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan dan Astra Zeneca. 

“Dengan adanya program pendidikan pradialisis, laman web dan Facebook MYBuahPinggang, diharapkan tahap kefahaman pesakit dan ahli keluarga mereka dalam menghadapi cabaran penyakit ini dapat ditingkatkan,” katanya. 

Sementara itu pada majlis tersebut, Khairy turut dilantik sebagai Duta Ginjal bagi program khas Yayasan Buah Pinggang Malaysia bersama lima lagi individu lain. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya