45,000 pekerja pembersihan bermasalah terima gaji minimum

45,000 pekerja pembersihan bermasalah terima gaji minimum

KERATAN laporan akhbar Utusan Online.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN: Seramai 45,000 pekerja pembersihan di bawah Kementerian Pendidikan dijangka tidak menerima faedah gaji minimum RM1,500 sekiranya kerajaan melaksanakan perintah tersebut bermula Mei ini.

Ini kerana syarikat kontraktor dilantik belum menerima bayaran tambahan akibat pelaksanaan perintah gaji minimum (PGM) 2019 dan 2020 sepertimana yang dijanjikan kerajaan.

Kementerian Pendidikan masih tidak dapat melunaskan bayaran tambahan tersebut dari 2019 hingga sekarang.

Keadaan ini tidak berlaku semasa PGM kali pertama RM900 pada 2013 dan kali kedua RM1,000 pada 2016 yang mana Kementerian Pendidikan segera membayar tambahan dalam tempoh singkat.

TENGKU ABU NIRAH TENGKU AHMAD

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Yang Dipertua Persatuan Kontraktor Perkhidmatan Pembersihan Negeri Pahang (Kosppem), Datuk Tengku Abu Nirah Tengku Ahmad berkata, pihaknya sudah kehabisan duit kerana terpaksa mendahulukan kos tambahan selama 19 bulan.

“Dari mana lagi kami hendak cari duit untuk menampung kos baharu jika kerajaan melaksanakan pula PGM pada kadar RM1,500. Ditambah pembayaran bulan Oktober, November dan Disember 2021 dan Januari serta Februari tahun ini masih belum diterima.

“Keuntungan kami bukan banyak. Jika gaji dinaikkan RM1,500 kami terpaksa keluarkan kos tambahan RM14,000 sebulan. Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Lebih baik mati daripada hidup sengsara.

“Bebanan ini sepatutnya tidak diterima oleh kami kerana kami hanya membantu kerajaan melaksanakan gaji minimum. Bayaran tambahan yang kerajaan salurkan ke akaun kami adalah untuk pekerja. Kami tidak mempunyai faedah dari bayaran tambahan tersebut. Kami rasa teraniaya,” katanya di sini semalam.

Sabtu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, kerajaan meluluskan pelaksanaan kadar gaji minimum baharu RM1,500 sebulan mulai 1 Mei 2022 di seluruh negara.

Mengulas lanjut, Tengku Abu Nirah berkata, pelaksanaan gaji minimum RM1,500 adalah terbaik kepada pekerja tapi harus terbaik juga kepada mereka.

“Sebab yang membayar gaji adalah kami. Jika kami tidak berduit, macam mana nak capai hasrat kerajaan membantu rakyat. Gaji minimum RM1,500 sepatutnya menjadi satu kegembiraan buat pekerja yang tergolong dalam kalangan B40 dan tidak menekan kami dari syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” katanya.

Beliau menyarankan kerajaan supaya meneliti semula kaedah perlaksanaan PGM 2022 yang dilihat akan menimbulkan masalah baharu kepada majikan dari golongan syarikat kecil.

“Syarikat yang dikecualikan membayar gaji RM1,500 merasa gembira, tapi akan kehilangan pekerja kerana pekerja akan lari bekerja di tempat gaji mahal.

“Akhirnya Industri kecil akan gulung tikar kerana tiada pekerja. Sebaiknya pelaksanaan ini diselaraskan kepada semua kategori,” katanya.

AKRAM SHAH HANISHAH

Sementara itu, Setiausaha Kosppem, Akram Shah Hanishah berkata, pihaknya berharap PGM 2022 yang akan dilaksanakan pada Mei ini ditangguh dahulu pelaksanaannya kepada syarikat kontraktor pembersihan di bawah Kementerian Pendidikan sehingga semua tuntutan lama diselesaikan.

Beliau bimbang jika dilaksanakan juga sebelum tuntutan lama selesai akan timbul masalah baharu kepada syarikat kontraktor dan kepada pekerja di sektor pembersihan khususnya.

“Jika mahu dilaksanakan juga, kita mahu semua kementerian yang terlibat dengan kontraktor pembersihan terus membuat bayaran tambahan selewatnya April ini.

“Kami berharap proses pelaksanaan PGM 2022 dengan kadar gaji RM1,500 berjalan lancar dan tidak lagi menjadi satu polemik. Kerajaan sudah berpengalaman dua kali iaitu pada 2013 dan 2016. Sepatutnya dengan pengalaman ini, kerajaan sudah belajar melaksanakannya,” katanya.

Beliau turut mencadangkan kerajaan membuat bayaran kepada syarikat kontraktor yang terlibat secara automatik jika berlaku kenaikan kadar gaji. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN