JOHOR BAHRU: Seramai 22,531 individu yang terdiri daripada warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta pasangan akan mengundi awal pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Selasa ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 11,576 adalah warga PDRM Johor di seluruh negeri ini.
Beliau berkata, bagi memudahkan kesemua yang terlibat mengundi awal, sebanyak 63 pusat mengundi dengan 83 saluran akan disediakan.
“Proses undi awal akan dijalankan di premis-premis PDRM dan ATM seperti di dewan Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, dewan-dewan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD), kem-kem Pasukan Gerakan Am (PGA) dan kem-kem tentera.
“Nasihat saya bagi yang mengundi awal, sentiasa peka kepada arahan-arahan petugas Kementerian Kesihatan. Sebelum tunai tanggungjawab ini pastikan buat saringan Covid-19 bagi memastikan tahap kesihatan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
Kamarul Zaman berkata, seramai 276 daripada 382 anggota dan pegawai polis Johor yang mendaftar untuk mengundi secara pos diluluskan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Dalam pada itu, Polis Johor menegaskan terpaksa menolak permohonan MCA untuk mengadakan debat secara bersemuka melibatkan Presidennya, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang sepatutnya diadakan petang ini.
Kamarul Zaman berkata, program itu tidak diberikan ‘lampu hijau’ untuk diteruskan kerana dikhuatiri mewujudkan suasana tidak tenteram di negeri ini.
“Berdebat secara bersemuka kita tidak benarkan dan tolong faham keadaan kerana ia boleh mewujudkan suasana yang tidak tenteram. Sekarang ini, keadaan tenang dan semua parti politik yang hendak berkempen boleh lakukan dengan aman.
“Jadi kita tidak mahu ada satu perkara yang boleh memecahkan keamanan yang menyebabkan rosak habis semua tidak boleh berkempen,” katanya. – UTUSAN