banjir kilat

21 kayak rosak, hilang dihanyut banjir kilat

AZHAR Jaafar (duduk, kanan) bersama rakan-rakannya menemukan beberapa kayak yang hanyut dalam banjir kilat di Kampung Seberang Pekan, Baling, Rabu lalu. - UTUSAN/NORLIA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING: Seorang pengusaha sukan kayak di Kampung Seberang Pekan di sini mendakwa kerugian kira-kira RM20,000 selepas 21 kayak miliknya rosak dan hilang dihanyutkan arus deras dalam kejadian banjir kilat Rabu lalu.

Pemilik Bayu Land Adventure Team, Azhar Jaafar, 47, berkata, kesemua kayak tersebut yang diletakkan di sebuah bangsal tidak dapat diselamatkan dalam kejadian banjir kilat yang berlaku pukul 11 malam.

Menurutnya, sebahagian kayak tersebut dihanyut arus deras di Sungai Ketil sejauh kira-kira 20 kilometer.

“Sebanyak 15 daripada 21 kayak yang hanyut itu dijumpai semula di Sungai Ketil namun kebanyakannya mengalami kerosakan teruk,” katanya ketika ditemui di Kampung Seberang Pekan di sini hari ini.

Azhar yang mengusahakan sukan kayak sejak dua tahun lalu berkata, kejadian banjir kilat tersebut berlaku selepas hujan lebat sejak petang lagi.

Bagaimanapun, tambahnya, kejadian banjir pernah berlaku di kampung ini tetapi tidak seburuk pada malam tersebut.

“Saya sangat sedih selepas usaha saya bersusah payah bermula dari sedikit demi sedikit dengan mengumpul wang untuk membeli kayak akhirnya musnah dalam sekelip mata,” ujarnya.

Katanya, dia juga terpaksa membatalkan tempahan aktiviti kayak daripada pelancong pada bulan ini.

“Diharapkan ada pihak yang dapat membantu saya membiayai kos membeli kayak baharu bagi membolehkan saya mengusahakan semula aktiviti sukan semakin mendapat sambutan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN