141 calon SPM terjejas banjir naik trak tentera - Utusan Malaysia

141 calon SPM terjejas banjir naik trak tentera

Kerajaan digesa memberi peluang kedua kepada pelajar SPM yang tercicir untuk membina hidup mereka kepada lebih baik. - UTUSAN/ZULHANIFA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Seramai 141 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Kiambang, Pasir Mas terpaksa menaiki trak tentera selepas laluan ke sekolah berkenaan ditenggelami banjir.

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Dasar dan Kurikulum), Datuk Phakaruddin Ghazali berkata, pihaknya bekerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menggerakkan dua trak tiga tan bagi mengangkut semua calon di sekolah tersebut.

Menurutnya, bantuan untuk membawa calon ke pusat peperiksaan dengan kerjasama Markas Lapan Briged, Pengkalan Chepa itu akan berterusan sehingga air di kawasan terbabit surut.

“Laluan ke pusat peperiksaan di SMK Sri Kiambang ditenggelami banjir setinggi 0.3 meter dan tidak boleh dilalui oleh semua jenis kenderaan.

“Pihak kementerian bekerjasama dengan ATM untuk memastikan pelajar yang berpakaian sekolah dapat menduduki SPM dengan baik dan tidak menghadapi kesukaran,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan sempena hari pertama SPM 2021 di SMK Zainab 1 di sini hari ini.

Phakaruddin memberitahu, sebuah sekolah yang sepatutnya menjadi pusat peperiksaan SPM di Pasir Mas iaitu Sekolah Menengah Ugama (Arab) Diniah ditutup pagi tadi selepas didapati kawasan sekolah dinaiki air.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan seramai 19 orang calon SPM di sekolah berkenaan terpaksa menangguhkan peperiksaan hari ini.

“Setakat ini, seramai 723 calon SPM di Kelantan tidak akan menduduki peperiksaan bermula hari ini dan esok. Kesemua calon yang terjejas banjir dan dikuarantin kerana dijangkiti Covid-19 akan menduduki sidang kedua yang dijadualkan bermula 4 sehingga 28 April nanti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN