14 PATI ditahan cuba masuki perairan negara secara haram

14 PATI ditahan cuba masuki perairan negara

SERAMAI 14 PATI yang cuba memasuki perairan negara secara haram ditahan Maritim Malaysia di kedudukan 5.3 kilometer barat daya Sungai Pinang, Pulau Pinang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Seramai 14 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang cuba memasuki perairan negara ini ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia)  Pulau Pinang semalam.

Menurut kenyataan Maritim Malaysia Pulau Pinang, bot ronda agensi itu yang sedang melaksanakan rondaan OP Pertiwi menerima maklumat daripada komuniti nelayan berhubung sebuah bot yang sedang bergerak dalam keadaan mencurigakan kira-kira pukul 9.30 pagi, semalam. 

“Hasil maklumat tersebut anggota bot ronda Maritim Malaysia telah menahan bot kayu terbabit yang dipercayai dari Indonesia bersama 14 penumpang di kedudukan 5.3 kilometer barat daya Sungai Pinang.

”Ketika bot ronda Maritim Malaysia menghampiri bot tersebut untuk pemeriksaan, empat individu di dalam bot berkenaan telah bertindak terjun laut untuk melarikan diri, namun cubaan mereka gagal selepas diselamatkan dan kemudian ditahan bersama PATI yang lain,”katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kenyataan itu berkata, hasil pemeriksaan awal mendapati, bot yang dinaiki oleh 14 lelaki dipercayai warga Indonesia berumur antara 21 hingga 51 tahun termasuk tekong dalam perjalanan dari pangkalan daerah Seruway, Acheh cuba memasuki Malaysia melalui jalan laut yang tidak diwartakan.

“Kesemua PATI itu ditahan dan dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

“Kes akan disiasat di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 serta Akta Imigresen 1959/63 iaitu kesalahan melakukan aktiviti penyeludupan migran dan memasuki Malaysia melalui pintu yang tidak diwartakan,” katanya.

Tambah kenyataan itu, Maritim Malaysia berterima kasih kepada komuniti maritim yang prihatin dalam menyalurkan maklumat atau aduan segera yang melibatkan aktiviti jenayah dipersekitaran mereka dan berharap ia dapat dikekalkan dan dipertingkatkan demi kesejahteraan bersama.

“Sebarang aduan salah laku jenayah maritim di laut  atau sebarang kecemasan segera hubungi talian hotline Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian (04-2626146) atau talian kecemasan MERS 999,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN