TEHERAN: Iran melaksanakan hukuman gantung terhadap seorang lelaki yang didakwa sebagai seorang daripada perisik utama Israel di negara itu.
Menurut laporan agensi kehakiman melalui laman Mizan Online, individu terbabit, dikenali sebagai Bahman Choubi Asl, dihukum mati selepas bersalah bekerjasama rapat dengan agensi risikan asing rejim Zionis.
“Seorang daripada perisik utama rejim Zionis di Iran, Bahman Choubi Asl, telah digantung pada pagi ini,” kata kenyataan tersebut.
Hukuman itu berlaku susulan konflik berdarah 12 hari antara Iran dan Israel pada Jun lalu yang menyaksikan serangan udara besar-besaran Israel ke atas kemudahan ketenteraan, kerajaan dan nuklear di Iran.
Sebagai tindak balas, Iran melancarkan serangan peluru berpandu dan dron ke atas wilayah Israel.
Sejak konflik berakhir, pihak berkuasa Iran mengambil pendekatan tegas terhadap mereka yang disyaki mempunyai kaitan dengan Israel, termasuk mempercepatkan proses perbicaraan serta pelaksanaan hukuman.
Bahman Choubi Asl didakwa mempunyai akses istimewa kepada pangkalan data sulit dan bersifat kedaulatan milik negara, dan dipercayai menyalurkan maklumat kepada agensi perisikan Israel, Mossad. Namun, tarikh penahanannya tidak didedahkan.
Sebelum ini, pada 9 Ogos, pihak kehakiman Iran mengumumkan siasatan terhadap 20 individu yang ditahan kerana disyaki mempunyai hubungan dengan Israel. Beberapa hari sebelumnya, seorang lagi individu, Roozbeh Vadi, turut dihukum mati selepas didapati menyalurkan maklumat mengenai seorang saintis nuklear Iran yang terbunuh dalam serangan semasa konflik.
Serangan Israel pada Jun lalu meragut ratusan nyawa termasuk pegawai kanan tentera, saintis nuklear, serta orang awam.










