PETALING JAYA: Desas-desus mengenai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) adalah tidak benar.
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Zuraida yang juga merupakan Ahli Parlimen Ampang itu masih ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu.
“Kita masih belum dapat membuat apa-apa keputusan mengenai beliau, walaupun sudah banyak khabar angin mengatakan beliau sudah memasuki parti lain tetapi sehingga sekarang ni saya tak dapat kenyataan sebenar berhubung perkara itu.
“Jadi secara ringkasnya beliau masih Ahli Majlis Tertinggi Bersatu dan kalau apa-apa perkembangan mungkin kita akan buat satu penilaian bukan sahaja sebagai Ahli Majlis Tertinggi tetapi turut sebagai Ahli Jemaah Menteri,” katanya semasa sidang media di Kuala Lumpur hari ini.
Terdahulu, akhbar melaporkan, Zuraida disingkirkan daripada kumpulan WhatsApp MPT Bersatu yang diaggotai lebih 30 ahli termasuk presiden parti tersebut ekoran kontroversi yang melanda pemimpin tersebut.
Malah, terdapat juga dakwaan, Zuraida bersama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali antara dua Ahli MPT Bersatu yang disebut-sebut bakal menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM). – UTUSAN