bah kuning berulang

Waspada bah kuning berulang

ANTARA mangsa banjir yang cemas apabila pusat pemindahan sementara (PPS) di Kampung Lubuk Periuk, Hulu Terengganu turut dinaiki air selepas dua jam mereka berpindah ke situ, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KRAI: Penduduk negeri ini diminta berwaspada ekoran berlaku musim tengkujuh di luar jangka sejak beberapa hari lalu yang kemungkinan boleh mengulangi tragedi bah kuning seperti pada 2014.

Amaran berwaspada telah dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) bahawa berlaku hu­­jan berterusan di Perak, Ke­­­lantan dan Terengganu.

Met­Malaysia juga menjangka­kan cuaca buruk melanda daerah Hulu Perak, Perak; daerah Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu dan Marang di Terengganu.

Setakat petang semalam mangsa banjir di Kelantan dan Terengganu meningkat kepada 11,736 orang dengan penduduk menyifatkan hujan ketika ini agak pelik dan luar biasa serta boleh mengakibatkan banjir besar jika berterusan.

Banjir atau bah kuning pada 2014 adalah yang terburuk dalam sejarah banjir Malaysia dengan mencatatkan lebih 300,000 orang dipindahkan.

Jumlah mangsa yang dipindahkan di Kelantan mencecah 170,000 orang daripada kira-kira 36,000 keluarga yang ditempatkan di 309 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) melibatkan lapan daerah.

Jajahan Kota Baharu mencatatkan angka tertinggi mang­sa banjir iaitu 44,061 orang, Tumpat (30,569), Pasir Mas (23,568), Kuala Krai (23,500), Gua Musang (17,327), Machang (8,289), Tanah Merah (3,546) dan Pasir Puteh (192).

Penduduk Kampung Keroh Lama, di sini, Siti Fajel Yaakub, 58, berkata, paras air naik sa­ngat laju hingga mencecah paras dada di halaman rumahnya selepas hujan lebat selama tiga jam pagi ini.

Bimbang terkepung dengan air banjir, dia dan suami bersama cucu mereka memberanikan diri meredah banjir untuk berlindung di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Keroh.

“Ketika kami memindahkan barangan berharga ke tempat tinggi, air baru paras lutut dan selepas berkemas, air sudah naik hingga paras dada dalam masa sangat singkat.

“Sebelum ini, setiap kali musim bah, air naik paling tinggi pun setakat paras lutut, kecuali bah kuning pada 2014 apabila rumah kami tenggelam terus. Jika hujan terus lebat begini, memang bah kuning berulang,” katanya ketika ditemui.

 

BOMBA menyelamatkan keluarga Mohd. Saiful Azuar Mohd. Amin yang berlindung di atas bumbung selama sejam di Kampung Lubuk Pait di Hulu Terengganu, semalam.

Sementara itu, Nursyaziatul Adawiah Mohd. Azlani, 20, yang tinggal di pinggir tebing sungai pula berkata, keluarga­nya nekad meninggalkan rumah dengan hanya membawa pakaian dan dokumen penting.

“Air sungai naik cepat sa­ngat. Kami gerun kalau-kalau bah besar yang berlaku pada 2014 berulang sekali lagi, jadi kami cepat-cepat berpindah keluar dari rumah tanpa sempat kemaskan harta benda,” katanya.

MetMalaysia juga meramalkan hujan berterusan di Perlis; Kedah; Pulau Pinang; daerah Kerian, Larut, Matang dan Selama, Kuala Kangsar, Kinta dan Kampar di Perak serta da­erah Dungun dan Kemaman di Terengganu.

Sehingga semalam, seramai 11,736 mangsa ditempatkan di 103 pusat pemindahan sementara (PPS) di Terengganu dan Kelantan

Sementara itu di Pasir Mas, seorang pemuda dari Wakaf Bharu, Tumpat berdepan detik cemas apabila motosikalnya terkandas dan hampir diha­nyutkan arus deras di Jalan Pasir Mas-Rantau Panjang berhampiran Kalbok Lima.

Mohd. Faizal Zawawi, 31, bagaimanapun berjaya di­selamatkan oleh beberapa anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas yang bertindak menolak motosikalnya beramai-ramai ke daratan.

“Saya beranikan diri meredah air banjir itu menaiki motosikal kerana mahu memastikan keselamatan nenek yang tinggal berdua dengan ibu saudara di Kampung Gual Tok Deh.

“Tak sangka pula paras air di atas jalan semakin tinggi hingga motosikal saya hampir tenggelam,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×