PETALING JAYA: Untung dicatatkan Lembaga Tabung Haji (TH) pada 2020 dan 2021 seharusnya digunakan untuk menanggung kenaikan kos haji yang dijangka meningkat lagi tahun ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji (Papuh), Datuk Seri Razali Mohd. Sham berkata, TH mencatatkan keuntungan bersih RM1.22 bilion pada 2021 dan RM1.25 bilion pada 2020 walaupun tidak menghantar jemaah haji untuk kedua-dua tahun tersebut kerana pandemik Covid-19.
Menurut beliau, jumlah keuntungan tersebut sepatutnya mencukupi untuk menampung kenaikan kos haji tahun ini.
“Jemaah haji sudah dua tahun tidak dihantar ke Arab Saudi, tetapi TH peroleh keuntungan berbilion, sepatutnya ia digunakan untuk menampung kos kenaikan haji. Lagi pun, TH dikecualikan daripada cukai pendapatan.
“Malah, TH biasanya menanggung subsidi haji berjumlah hampir RM400 hingga RM500 juta setahun. Jadi, kalau caj haji naik, keuntungan ini sepatutnya boleh membantu jemaah. Jemaah haji ada hak sebagai pencarum,” katanya.
Hujung tahun lalu, kerajaan menjangkakan kos untuk menunaikan ibadah haji bagi jemaah dari negara ini meningkat hampir 50 peratus kepada lebih RM30,000 seorang tahun depan berbanding RM23,000 seorang ketika ini.
Kenaikan itu adalah disebabkan cukai nilai tambah (VAT) Arab Saudi yang naik daripada lima peratus kepada 15 peratus, tahun depan, selain perubahan prosedur operasi standard (SOP) apabila hanya dua jemaah dibenarkan duduk sebilik di hotel berbanding enam jemaah sebelum ini.
Tambah Razali, pengurusan kuota haji juga dilihat membimbangkan kerana jika diambil kira jemaah haji 2020, 2021 dan tahun ini, jumlah itu menjadikan hampir 90,000 jemaah menunggu untuk ke Arab Saudi.
“Hampir 90,000 sedang menunggu untuk menunaikan haji dan TH juga dapat kuota tambahan setiap tahun, tetapi berapa peratus sahaja yang dapat ke Arab Saudi.
“Jika TH tidak mampu uruskan jemaah haji, berilah kepada syarikat-syarikat lain untuk mengendalikannya,” katanya.- UTUSAN











