PETALING JAYA: Jemaah umrah hanya perlu menjalani kuarantin selama lima hari di rumah selepas pulang daripada mengerjakan ibadah tersebut di Tanah Suci.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji (Papuh), Datuk Seri Razali Mohd. Sham berkata, ketetapan itu merupakan antara hasil perbincangan pihaknya bersama dengan Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya dan Kementerian Kesihatan, baru-baru ini.
Namun katanya, jemaah masih perlu memakai gelang pengawasan sepanjang lima hari tempoh kuarantin.
“Insya-Allah, tiada perubahan tarikh bagi perjalanan umrah yang telah ditetapkan bermula 8 Februari seperti yang dipersetujui Mesyuarat Jemaah Menteri pada 26 Januari lalu.
“Dijangka penerbangan pertama jemaah umrah adalah 9 Februari, namun jumlahnya belum diketahui kerana kami belum menerima angka rasmi daripada syarikat pengendali umrah,” katanya.
Pada 29 Januari lalu, kerajaan mengumumkan kebenaran semula perjalanan umrah yang telah ditetapkan bermula 8 Februari ini seperti yang dipersetujui Jemaah Menteri.
Sebelum ini, Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri dilaporkan berkata, antara SOP umrah ialah memastikan jemaah lengkap vaksinasi dan wajib mengambil dos penggalak demi keselamatan dan kesejahteraan jemaah.
Dalam pada itu, Razali menambah, meskipun ramai bimbang gelombang varian Omicron, namun sambutan mengerjakan umrah masih menerima sambutan menggalakkan apabila para jemaah dilihat amat teruja untuk berangkat ke Tanah Suci.
Bagaimanapun katanya, mereka seharusnya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelakkan dijangkiti virus tersebut.
“Setakat ini, SOP di Tanah Suci masih sama apabila Kerajaan Arab Saudi masih melaksanakan penjarakan saf dan penjarakan fizikal. Malah Arab Saudi mewajibkan suntukan dos penggalak kepada jemaah yang masuk ke negara itu,” katanya. – UTUSAN










