SEREMBAN: Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri kekal sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) selepas beliau menang tanpa bertanding dalam pemilihan yang diadakan sempena Kongres PBNS ke-88, hari ini.
Turut menang tanpa bertanding Setiausaha Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan, Datuk Dr. Razali Ab Malik yang kekal memegang jawatan sebagai Timbalan Presiden PBNS.
Sementara itu, jawatan Naib Presiden PBNS yang dipertanding turut mengekalkan dua pemegang jawatan sedia sebelum ini iaitu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Belia dan Sukan Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Taufek Abd Ghani dan N. Saaran.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seremban (MBS), Datuk Masri Razali turut dilantik sebagai Naib Presiden PBNS dalam pemilihan tersebut yang melibatkan 68 orang wakil daripada 18 kelab gabungan di bawah PBNS.
Kesemua pemegang jawatan yang dipilih hari ini termasuk lapan orang Jawatankuasa Eksekutif adalah bagi tempoh penggal 2022-2024.
Sementara itu, Tunku Syed Razman dalam ucapannya berkata, fokus PBNS kini lebih terarah kepada aspek pembangunan akar umbi, tadbir urus dan pengurusan pertandingan selepas berlaku pemisahan tanggungjawab antara persatuan bolasepak (FA) dan kelab bolasepak (FC).
“Perkara yang kini perlu diutamakan adalah berkenaan pembangunan sukan bolasepak khususnya di Negeri Sembilan dan antara perkara yang akan dilaksanakan bagi penggal baharu ini ialah pembangunan pengadilan di mana PBNS berhasrat untuk menyediakan lebih ramai pengadil yang bertauliah dan berkualiti untuk diketengahkan.
“Bagi memastikan arus falsafah bolasepak, PBNS akan meneruskan kursus-kursus kejurulatihan bagi melahirkan jurulatih baharu yang akan mewarnai sukan bolasepak dengan taktikal dan teknikal baharu,” kata beliau. – UTUSAN










