SEREMBAN: Seorang lelaki yang memandu di bawah pengaruh alkohol antara tujuh individu yang ditahan dalam Op Samseng Jalanan dan Op Mabuk dijalankan di tiga lokasi berasingan di daerah ini bermula malam tadi hingga awal pagi ini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Superintenden Shafiei Muhammad berkata, lelaki berusia 40 tahun itu, ditahan oleh Skuad 42 JSPT Negeri Sembilan serta Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (BSPTD) Seremban kerana memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol melebihi had yang ditetapkan.
Menurut beliau, tiga lelaki lagi ditahan iaitu antaranya remaja berusia 17 hingga 21 tahun bersama motosikal masing-masing selepas melakukan aksi mengangkat tayar hadapan dan melakukan gaya meniarap di atas tempat duduk motosikal.
“Aksi berkenaan dilakukan secara berulang-alik dari arah lampu isyarat Taman Sri Pagi menghala ke arah lampu isyarat Taman Matahari Heights, Jalan Persiaran Senawang 1, Seremban.
“Tiga lagi lelaki termasuk remaja lingkungan usia 18 hingga 20 tahun juga ditahan bersama motosikal masing-masing selepas melakukan aksi yang sama dan menunggang motosikal secara bersaing sesama sendiri serta memotong secara zig zag terhadap kenderaan lain di kilometer 256.8 hingga kilometer 259.1 Lebuh Raya Utara Selatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Shafiei berkata, kesemua yang ditahan di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban untuk tindakan lanjut.
“Kesemua individu yang terlibat akan dimohon reman hari ini dan akan dituduh di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan bagi pemandu mabuk pula di bawah Seksyen 45A (1) APJ 1987. – UTUSAN