TNB sediakan RM49 juta taja pengajian melalui MyBF

TNB sediakan RM49 juta taja pengajian melalui MyBF

HASAN Arifin (dua dari kanan) menyerahkan replika dermasiswa MyBF kepada penerima MyBF, Nur Dahlia Amirah Mohd Amin sambil disaksikan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din (dua dari kiri) dan Pengarah YTN, Datuk Ir. Dr. Ibrahim Hussein (kanan).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) memperuntukkan RM49 juta bagi membiayai pengajian pelajar Dermasiswa My Brighter Future (MyBF) pengambilan 2021.

Tajaan berkenaan melibatkan lebih 45 institusi pengajian di seluruh Malaysia dalam bidang berkaitan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Pengerusi TNB, Datuk Seri Hasan Arifin berkata, terbaharu, seramai 1,760 pelajar dari keluarga berpendapatan terendah yang mengikuti pengajian di institusi pengajian tinggi layak menerima MyBF

Katanya, sejak MyBF diperkenalkan pada 2018, lebih 6,800 pelajar dari golongan B40 menikmati pembiayaan pengajian masing-masing meliputi yuran pengajian, penginapan, elaun sara hidup dan sebagainya sehingga tamat pengajian.

“Selain MyBF TNB melalui Yayasan Tenaga Nasional (YTN) yang ditubuhkan pada 1993, turut meneruskan pemberian biasiswa dan pinjaman boleh ubah kepada para pelajar pengajian tinggi.

“Sehingga kini, lebih 20,000 pelajar menerima manfaat daripada seluruh program bantuan pendidikan TNB dengan anggaran tajaan melebihi RM1.3 bilion,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Hasan, sebagai warga korporat prihatin, TNB mencurahkan bakti kepada masyarakat dalam pelbagai bentuk bantuan pendidikan. Penawaran Dermasiswa MyBF adalah strategi serampang dua mata iaitu mencipta akses pendidikan tinggi kepada golongan yang tidak berkemampuan sekali gus membasmi masalah kemiskinan.

“Membangunkan modal insan negara melalui penyediaan peluang pendidikan adalah satu daripada inisiatif tanggungjawab korporat TNB, selain daripada program-program berkaitan sosio-ekonomi, alam sekitar dan sukan,” katanya.

Selain itu katanya, Dermasiswa MyBF dikhaskan kepada para pelajar daripada keluarga B40 tanpa sebarang ikatan atau pun bayaran balik dan pemilihan pelajar dibuat berdasarkan pangkalan data Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA, Unit Pusat Universiti (UPU), Sistem e-Kasih.

Katanya, perlajar tidak perlu membuat permohonan mahupun melalui proses temuduga dan surat Tawaran MyBF dikeluarkan bersama dengan Surat Tawaran ke IPTA oleh institusi masing-masing bagi memastikan isu kewangan bukan masalah utama pelajar untuk memulakan pengajian. 

“Inisiatif TNB ini diharap bukan sahaja dapat meringankan beban keluarga berpendapatan rendah bagi menampung kos pengajian, malah kemudiannya membolehkan anak-anak mereka membangunkan kerjaya yang lebih baik demi masa depan diri dan keluarga serta masyarakat.

“Daripada segi pencapaian pelajar, 33.4 peratus pelajar MyBF berjaya mendapat CGPA 3.50 dan ke atas pada semester dua tahun pengajian 2020/2021 dan analisa pencapaian akademik mendapati purata keseluruhan pelajar yang berjaya mencapai tahap CGPA 3.00 ke atas adalah melebihi 75 peratus,” katanya.

Dalam pada itu katanya, Program MyBF bukan sahaja memberi bantuan dalam bentuk kewangan tetapi juga membangunkan kompetensi pelajar bersama-sama nilai dan budaya murni yang mementingkan kesejahteraan sejagat termasuk dalam aspek penjagaan alam sekitar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya