KLANG: Seorang warga emas menuntut janji daripada Kerajaan Persekutuan yang dikatakan mahu membantu membaiki rumahnya yang hangus terbakar pada 8 November lalu.
Sehingga kini, janji itu dikatakan masih sepi apabila hanya pembaikian rangka bumbung dilakukan sehingga memaksa Mohd. Sharip Sulong, 75, menyewa rumah lain sebagai tempat berteduh bersama keluarganya.
Menurut anaknya, Mohd. Nizam Mohd. Sharip, 38, semasa rumah tersebut terbakar tiga bulan lalu, difahamkan ada wakil daripada Kerajaan Persekutuan datang melawat.
“Pihak terbabit semasa hadir menyebut secara lisan untuk memulihkan semula rumah bapa saya, cuma tiada hitam putih daripada mereka.
“Tetapi difahamkan pegawai yang hadir meminta kakitangannya membuat taksiran kerosakan dan mengarahkan agensi kerajaan memperbaiki rumah ini,” katanya ketika ditemui di Lot 3474 Jalan Kapar hari ini.
Mohd. Nizam yang merupakan anak sulung tiga adik-beradik menjelaskan, setakat ini bantuan yang diterima adalah peruntukan membaiki bumbung sebanyak RM5,000.
Jelasnya, difahamkan kos untuk membaiki rumahnya yang rosak itu termasuk pendawaian semula wayar elektrik dan bumbung mencecah RM30,000 berdasarkan taksiran kontraktor pembinaan.
“Jika benar ada peruntukan untuk rumah bapa saya dipulihkan semula, harap pihak terbabit tampil menghulurkan bantuan. Kini sudah tiga bulan sejak kebakaran berlaku hujung tahun lalu. Kami kini menyewa dengan bayaran RM300 di belakang rumah ini,” katanya.
Mohd. Nizam berkata, pihaknya berharap pihak terbabit dapat memberi kata putus, sama ada dapat memberi bantuan yang dijanjikan atau tidak. – UTUSAN










