Tiga bot ditahan tangkap siput secara haram

Tiga bot ditahan tangkap siput secara haram

MARITIM MALAYSIA zon Kuala Perlis menahan tiga bot fiber tanpa nombor pendaftaran di tiga lokasi berbeza kerana disyaki menjalankan aktiviti menangkap siput secara haram sekitar perairan Perlis, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Kuala Perlis menahan tiga bot fiber tanpa nombor pendaftaran di tiga lokasi kerana menjalankan aktiviti menangkap siput secara haram di sekitar perairan negeri ini, semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd. Hashim Mat Zain berkata, dua tangkapan dibuat pada kedudukan 1.98 dan 1.99 batu nautika barat pantai Kurung Tengar membabitkan dua tekong dan seorang kru.Katanya, tangkapan ketiga pula dilakukan pada kedudukan sekitar 1.60 batu nautika barat muara Kuala Perlis melibatkan seorang tekong bot.

Menurutnya,  bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melakukan rondaan rutin Op Aman diatur gerak ke lokasi-lokasi kejadian bagi mengesan dan melakukan pemeriksaan setelah menerima aduan awam melalui Pusat Operasi (PUSOP) Zon Maritim Kuala Perlis berkaitan aktiviti penangkapan siput jenis retak seribu 

“Hasil pemeriksaan mendapati, kesemua bot nelayan tersebut berpangkalan di Kuala Perlis dan disyaki melakukan pelbagai kesalahan antaranya kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 Seksyen 8 (a) kerana mengendalikan bot tanpa lesen yang sah.

“Mereka juga melakukan kesalahan di bawah Seksyen 11 (3) (c) kerana memasang atau dipasang apa-apa belat ikan, peralatan menangkap ikan atau peranti mengumpul ikan tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia sebelum suatu lesen berkenaan dengannya dikeluarkan.

“Empat set sangkar besi berupa tangguk siput dianggarkan bernilai RM1,800 dan hasil laut jenis siput retak seribu seberat 335 kilogram dirampas ketika pemeriksaan dilakukan. Anggaran nilai keseluruhan rampasan termasuk tiga buah bot, enjin, sangkar besi dan siput retak seribu sekitar RM20,403,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, kesemua yang ditahan adalah warga tempatan berusia 27 hingga 35 tahun.

Katanya, bot serta hasil tangkapan siput dibawa masuk ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

 Ujarnya, hasil siasatan mendapati modus operandi penangkapan siput jenis retak seribu itu adalah menggunakan bot fiber dengan enjin sangkut bergalah (ekor biawak).

 “Aktiviti penangkapan siput di perairan Kuala Perlis merupakan satu kesalahan berikutan Jabatan Perikanan Perlis tidak mengeluarkan sebarang lesen bagi aktiviti penangkapan siput. Lesen atau permit untuk aktiviti penangkapan siput berkenaan hanya dikeluarkan di negeri Kedah dan kebenaran menjalankan aktiviti berkenaan di perairan negeri itu sahaja,” ujarnya.

Jelasnya, aktiviti tersebut boleh menyebabkan habitat ekosistem marin terjejas dalam jangka masa panjang, mengancam pembiakan, memusnahkan benih-benih ikan di dasar laut serta turut menjejaskan sumber pendapatan nelayan pesisir pantai. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.