Tiada kemalangan jiwa kilang proses getah terbakar - Utusan Malaysia

Tiada kemalangan jiwa kilang proses getah terbakar

KEPULAN api dan asap hitam menjulang tinggi ke udara dalam kebakaran melibatkan sebuah kilang memproses getah tiruan di Kawasan Perindustrian Tanjung Langsat, Pasir Gudang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR GUDANG: Polis mengesahkan tiada sebarang kemalangan jiwa melibatkan kejadian kebakaran kilang memproses getah tiruan di Kawasan Perindustrian Tanjung Langsat di sini petang semalam.

Bagaimanapun, dalam kejadian pukul 5.16 petang itu, dua mangsa melecur pada tangan manakala seorang lagi patah kaki kiri akibat terjun dari bangunan untuk menyelamatkan diri selepas terdengar bunyi letupan.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd. Sohaimi Ishak berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati kebakaran berpunca daripada dua buah tangki simen yang meletup serta menyebabkan kerosakan pada tangki simen tersebut.

“Kebakaran berjaya dipadamkan dengan bantuan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pasir Gudang dengan dibantu pasukan bomba kilang itu kira-kira pukul 8.30 malam.

“Kejadian yang berlaku tidak mengakibatkan kehilangan nyawa dan kesemua mangsa telah dihantar ke Hospital Penawar Pasir Gudang untuk rawatan lanjut,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu, penduduk setempat dikejutkan dengan kejadian kebakaran kilang petrokimia tersebut bahkan kepulan asap tebal serta api letupan berkenaan dipercayai dapat dilihat di sebahagian kawasan di Singapura.

Dalam pada itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang, Timbalan Penguasa Bomba Ibrahim Omar berkata, operasi pemadaman disertai 38 anggota dari BBP Pasir Gudang, BBP Johor Jaya dan BBP Larkin.

Katanya, operasi memadamkan kebakaran itu mengambil masa kira-kira lima jam sebelum berjaya dipadamkan sepenuhnya.

“Operasi ditamatkan pada pukul 10 malam dan punca kebakaran serta nilai kerugian masih dalam siasatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya