Tiada apa hendak disembunyikan - Maszlee - Utusan Malaysia

Tiada apa hendak disembunyikan – Maszlee

MASZLEE MALIK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: “Tiada apa yang hendak disembunyikan.”

Itu penegasan Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr. Maszlee Malik, sebaliknya beliau mengalu-alukan siasatan terhadapnya atas dakwaan menerima rasuah semasa menjadi Menteri Pendidikan dari 2018 hingga awal 2020.

Beliau menegaskan, isu yang ditimbulkan oleh pihak tertentu itu dilihat sebagai satu dakwaan berunsur fitnah dan berniat menjatuhkannya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

“Saya telah membaca laporan sebuah portal berita bertarikh 30/1/2022 berhubung dakwaan rasuah melibatkan saya yang ditimbulkan oleh pihak tertentu.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya kenyataan rekayasa dusta berbaur fitnah ini. Saya melihat perkara ini sebagai satu usaha pembunuhan karakter berunsur jahat oleh pihak tertentu terhadap saya menjelang PRN Johor dan komitmen saya terhadap isu-isu pendidikan.

“Hidup dan perjuangan saya adalah untuk memperjuangkan pendidikan, nasib orang kurang upaya (OKU), nasib masyarakat miskin, kebajikan rakyat Simpang Renggam dan integriti bagi negara kita yang tercinta,” katanya di sini semalam.

Dr. Maszlee didakwa menerima wang daripada pembekal kementerian berkenaan yang kemudiannya digunakan untuk aktiviti politik dan juga sebuah kenderaan jenis Vellfire daripada satu syarikat.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi PKR negeri, Jimmy Puah Wee Tse mempersoalkan waktu dakwaan itu dibangkitkan.

“Mengapa kes ini tidak timbul dahulu? Mengapa siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tiba-tiba muncul di tengah-tengah bahang PRN Johor tidak lama lagi dan Maszlee disebut-sebut sebagai calon PH untuk Menteri Besar Johor?

“Seolah-seolah terdapat campur tangan politik yang ingin mengacau fokus PKR Johor dan melakukan intimidasi politik ke atas Maszlee,” dakwanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×