SEREMBAN: Allahyarham Mohamad Nor Safuan Ahmad Zalili, 35, mangsa kemalangan maut di Jalan Seremban-Kuala Pilah dekat Ampangan di sini pagi tadi, dikatakan tergesa-gesa pulang ke rumah sebelum terbabit dalam kemalangan tersebut.
Isterinya, Rushila Roslan, 26, memberitahu, perkara tersebut dimaklumkan rakan-rakan suaminya yang kali terakhir bertemu dengan mangsa kira-kira pukul 3 pagi sebelum kejadian berlaku.
“Kali terakhir saya berjumpa dengan suami kira-kira pukul 9 pagi semalam semasa saya mahu keluar bekerja. Pada pukul 5 pagi tadi, saya terjaga daripada tidur dan mendapati dia masih pulang. Saya cuba hubunginya namun gagal.
“Kira-kira pukul 6 pagi, polis datang ke rumah dan memaklumkan suami terlibat dalam kemalangan maut,” katanya ketika ditemui pemberita di Jabatan Forensik, Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof dalam kenyataan hari ini memaklumkan, kejadian tersebut berlaku kira-kira pukul 4.50 pagi melibatkan sebuah kereta jenis Proton Saga.
Menurut beliau, mangsa dipercayai terbabas dan kemudian melanggar tiang lampu lalu kenderaan tersebut terbakar dalam kejadian di Jalan Seremban-Kuala Pilah berdekatan Balai Undang Sungai Ujong, Ampangan di sini.
Katanya, mangsa memandu seorang diri dan datang dari arah Seremban menghala ke arah Kuala Pilah dan apabila tiba di lokasi kejadian, kenderaan yang dipandu mangsa hilang kawalan lalu terbabas ke pembahagi tengah jalan dan melanggar tiang lampu jalan.
“Akibat kemalangan, kereta tersebut mengalami kerosakan di bahagian hadapan sehingga mengakibatkan pemandunya tersepit dan gagal keluar daripada kenderaan sebelum kenderaan tersebut terbakar. Mangsa turut terbakar dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) untuk tujuan bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Siasatan lanjut masih diteruskan, ” katanya.
Sementara itu, Rushila yang bekerja sebagai seorang juruwang di sebuah pasar raya berkata, arwah suaminya itu kadangkala pulang lewat ke rumah mereka di Taman Dusun Nyior di sini kerana bertemu dengan rakan-rakannya selepas selesai bekerja.
“Arwah suami bekerja di kedai mencuci kereta dan ada juga membuat kerja separuh masa yang lain jika berkelapangan. Selepas bertemu rakan-rakannya, dia pulang ke rumah paling lewat pada pukul 2 pagi,” katanya yang memberitahu suaminya meninggalkan empat anak berusia setahun hingga lapan tahun.
Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Qaryah Masjid Jamek Dato’ Klana Petra Sendeng, Ampangan sebelum solat Asar hari ini. – UTUSAN