LANGKAWI: Berpantang maut sebelum ajal. Itu yang berlaku kepada 14 pemancing dan empat kru selepas bot dinaiki karam dipukul ombak setinggi lima meter di kedudukan sekitar 9.4 batu nautika barat Pulau Beras Basah dekat sini pukul 1.30 petang kelmarin.
Ekoran itu kesemua mereka berhadapan detik cemas apabila terapung di laut hampir enam jam sebelum ditemukan oleh bot tunda.
Mereka bernasib baik kerana memakai jaket keselamatan dan sempat berpaut pada pelampung walaupun seorang daripada mereka patah kaki dan seorang lagi cedera di tangan.
Tekong bot Empayar Mahsuri, Baseri Aziz, 55, berkata, kejadian berlaku ketika cuaca buruk dengan ombak besar melebihi lima meter dan bot yang mereka naiki bergerak dalam kelajuan tiga hingga empat sahaja.
Menurutnya, mereka ketika itu berada kira-kira 14 kilometer dari daratan.
“Bot yang kami naiki karam selepas air masuk dan papan bahagian depan bot pecah,” katanya ketika ditemui di Jeti Maritim Bukit Malut di sini malam kelmarin.
Seorang pemancing, Mohd. Syahrin Samsudin, 43, berkata, dia dan rakannya terapung enam jam sebelum diselamatkan oleh nelayan bot tunda yang melalui di tempat kejadian pada pukul 7.15 malam.
Menurutnya, dia lega selepas nelayan bot tunda tersebut datang membantu selepas beberapa bot nelayan yang melalui kawasan tersebut sebelum itu tidak menyedari keadaan mereka.
Diselamatkan
“Ketika kami diselamatkan keadaan ketika itu sudah gelap dan kami bernasib baik apabila nelayan bot pukat tunda itu menyalakan lampu ke arah kami yang sedang terapung.
“Mungkin Allah bagi petunjuk kepada bot yang nak selamat kami itu setelah kami sentiasa azan dan berdoa agar kami dilindungi dan selamat,” ujarnya.
Mohd. Syahrin memberitahu, mereka mula mengikut trip memancing empat hari dengan menaiki bot itu sejak Khamis lalu dan dalam perjalanan pulang ke jeti Kuala Perlis selepas cuaca semakin buruk semalam.
Sementara itu, Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd. Zawawi Abdullah berkata, kapal Maritim Tenggol dan Bot Penyelamat 5 yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat telah mengambil kesemua 18 pemancing dan kru tersebut untuk dibawa ke Jeti Bukit Malut.
“Kesemua mereka dibawa ke Hospital Sultanah Maliha di sini untuk pemeriksaan status kesihatan masing-masing,” katanya.- UTUSAN











