ALOR GAJAH: Hasrat seorang penghantar makanan ingin mengumpul duit membelikan ibu dan bapanya sebuah kereta tidak kesampaian apabila maut dalam nahas di Bulatan Seri Bayan, Durian Tunggal di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi itu, mangsa, Jannahtul Firdaus Jailani, 24, meninggal dunia di tempat kejadian selepas motosikal jenis Honda RS150 ditunggangi melanggar sebuah lori.
Adik mangsa, Jannahtul Nur Afiqah, 21, berkata, hasrat itu diluahkan abangnya pada pagi semalam, apabila memberitahu perancangannya ingin membeli sebuah kereta untuk digunakan oleh ibu dan bapanya.
“Pagi semalam abang ada berbincang dengan kami perancangannya nak belikan abah dan umi kereta, tidak sangka pula ini yang terjadi,” katanya ketika ditemui pemberita di Jabatan Forensik Hospital Melaka.
Sementara itu, bapanya, Jailani Md. Ali, 53, berkata, anaknya itu baharu sahaja bekerja sebagai penghantar makanan sebulan yang lalu.
“Hari ini dia ada maklumkan nak berehat tetapi dalam pukul 9 lebih pagi tadi saya nampak dia keluar, tidak tahulah nak menghantar atau ambil makanan. Pukul 12 tengah hari saya dapat panggilan beritahu anak terlibat dalam kemalangan dan saya nampak gambar di WhatsApp nombor plat motosikal ditunggang Firdaus dengan keadaannya telah ditutupkan kain,” katanya sebak.
Tambahnya, anak kedua dari empat beradik itu juga ada meluahkan hasrat kepada ibunya untuk mengadakan majlis pertunangan pada tahun ini.
Dalam pada itu, Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Melaka, Superintenden Hasan Basri Yahya berkata, kemalangan berlaku apabila mangsa dalam perjalanan dari arah Gangsa ke Batu Berendam.
“Setiba di lokasi, mangsa yang ingin membelok ke kanan telah melanggar bahagian tepi kanan hadapan sebuah lori yang menuju ke Taman Merdeka. Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.
Tambah Hasan Basri, mayat dihantar ke Jabatan Forensik untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN











