PETALING JAYA: Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki meminta mana-mana parti politik untuk tidak menggunakan agama sebagai modal berkempen terutama menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini.
Tanpa menyebut mana-mana pihak, beliau berkata, ini berikutan rakyat melihat tawaran dasar dari sesebuah parti itu, bukannya fatwa politik.
“Tidak perlulah memperguna modal agama untuk kempen politik. Kononnya dapat pahala, dosa bila sokong satu-satu parti. Guna pula nama Allah kononnya laknat parti itu dan ini.
“Rakyat sudah matang dan mahu melihat tawaran dasar dan polisi bukan fatwa politik untuk sokong sesebuah parti.
“Ada benarnya kata pensyarah Dr. Ustaz Rozaimi Ramle ‘Daripada menunggang agama, lebih baik menunggang Vellfire’,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Dalam hal berkaitan, Dr. Asyraf Wajdi tampil menjelaskan di ruangan komen bahawa hantaran tersebut tidak bermaksudkan meninggalkan agama dalam berpolitik.
“Yang saya maksudkan jangan sewenangnya menghukum dan memfatwa mana-mana parti atas kecenderungan politik masing-masing.
“Cukuplah zaman kafir-mengkafir dan lelongan syurga neraka satu ketika menjadi pengajaran bagaimana ikatan ukhuwah boleh terputus hanya kerana perbezaan pegangan ideologi parti,” katanya.
Beliau menambah, biarlah tawaran polisi dan dasar jadi sandaran untuk berkempen daripada memulakan memfatwa dosa pahala dan syurga neraka sewenangnya kepada seteru politik yang hanya menghancurkan ummah dan memalukan orang Islam.
“Sebagaimana UMNO tidak sempurna kerana yang mendukungnya hanya manusia biasa yang tidak terlepas daripada dosa dan noda, begitu juga parti-parti lain yang bukan sesekali dianggotai malaikat yang tiada langsung kesilapan.
“Tetapi untuk menghukum parti secara menyeluruh hanya kerana kesilapan dan kesalahan segelintir bukan prinsip keadilan yang diajar Islam,” katanya. – UTUSAN