Subsidi bersasar: TH jimat RM350 juta - Utusan Malaysia

Subsidi bersasar: TH jimat RM350 juta

TABUNG Haji dijangka mengumumkan kadar dividen 2023 lebih baik bulan depan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lembaga Ta­bung Haji (Tabung Haji) boleh menjimatkan kos subsidi haji se­hingga lebih RM350 juta setahun sekiranya mengambil langkah memperkenal mekanisme subsidi haji secara bersasar.

Dengan penjimatan sebesar itu, Tabung Haji boleh memberikan pulangan sama ada dalam bentuk dividen atau hibah yang lebih tinggi kepada para pendepositnya.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pensyarah Kanan Putra Business School, Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff ber­kata, Tabung Haji hanya perlu membelanjakan subsidi haji sebanyak RM38 juta jika menggunakan mekanisme subsidi ha­ji bersasar.

Menurut beliau, jumlah itu mengambil kira 10 peratus jemaah haji melibatkan kumpulan miskin dan golongan B40 daripada 30,000 kuota jemaah diperuntukkan kepada negara ini yang benar-benar memerlukan ban­tuan.

“Setiap tahun Tabung Haji membelanjakan RM400 juta un­tuk menampung baki kos RM12,920 untuk setiap jemaah haji muassasah pertama kali tan­pa mengira kedudukan status kewangan mereka pada se­tiap kali musim haji.

“Bayangkan hampir RM400 juta perlu dibelanjakan sedang­kan Tabung Haji perlu menjamin keuntungan dan tidak boleh rugi bagi memberikan pulangan kepada pendeposit. Malah kos haji semakin meningkat sehingga 139 peratus,” katanya.

Subsidi haji bersasar

Beliau mengulas panda­ngan Pengarang Kumpulan Media Mulia Sdn. Bhd., Moha­mad Azlan Jaafar dalam Minda Pe­ngarang Utusan Malaysia semalam yang mengatakan sudah tiba masanya subsidi haji bersasar dan multitier atau berperingkat mengikut taraf sosio­ekonomi dilaksanakan.

Menurut Mohamad Azlan, pemberian subsidi haji harus berlandaskan keadilan sama dan tidak wajar diberikan kepada mereka yang mampu seperti T20 atau M40 ke atas.

Dalam pada itu, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof berkata, hanya 30 peratus jemaah haji kelolaan Tabung Haji dikategorikan sebagai golongan benar-benar memerlukan subsidi.

Golongan tersebut melibatkan kumpulan miskin tegar dan B40 termasuk warga emas yang setiap bulan menyimpan wang tabungan ke dalam akaun Tabung Haji.

Katanya, langkah memperkenal subsidi haji bersasar semasa Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan kerana bukan sahaja melihat kepada tuntutan hukum fikah tetapi kepada peningkatan kos haji setiap tahun.

Kata Ahli Parlimen Parit Buntar itu, pihaknya sedar beban Tabung Haji untuk menanggung peningkatan kos haji setiap tahun sejak 2009 sehingga 2019 iaitu daripada bermula RM2,000 sehingga RM10,000 bagi menampung kos sebenar seorang jemaah haji muassasah pertama kali demi membantu mengekalkan bayaran pada kadar RM9,980.

“Sebenarnya kita sudah buat kajian sejak saya menjadi Menteri Agama pada 2018 ke arah memperkenal subsidi bersasar dan telahpun dilaksanakan secara berperingkat iaitu kesedaran pada permulaan dan kemudian beri pilihan kepada jemaah berkemampuan sama ada ingin membayar kos secara penuh atau sebaliknya.

“Cuma sejak peralihan kerajaan, saya tidak tahu sama ada usaha ini diteruskan atau tidak,” katanya.

Dikritik

Mujahid berkata, bagaimanapun usahanya itu telah dikritik oleh beberapa pihak termasuk pemimpin Pas yang menuduh beliau mahu menghapuskan subsidi sedangkan kerajaan ketika itu mahu dilaksanakan secara lebih berkesan.

“Namun kerajaan sekarang kini mahu mencontohi apa dilakukan oleh PH ketika dahulu yang bukan sahaja menepati hukum fikah tetapi membantu mengurangkan bebanan Tabung Haji. Tetapi mereka kini mahu melakukan secara menyeluruh dan bukannya berperingkat.

“Boleh buat, tetapi lakukan secara berperingkat sepertimana dilakukan kita PH iaitu bermula kesedaran dan beri pilihan sama ada ingin bayar penuh atau tidak untuk golongan kemampuan,” katanya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×